Breaking News

Fattah Tak Terasa Digelar ‘Kayu’ Oleh Que

TIDAK terkesan dengan kritikan pelakon Que Haidar terhadap artis baharu sekarang yang lebih bersandarkan rupa semata-mata tetapi lakonan ‘kayu’, Fattah Amin mula bersuara. 
Walau Dilabel 'Kayu', Fattah Terima Bayaran Termahal
Tegasnya, semua orang berhak mengeluarkan pendapat. Namun Hero Suri Hati Mr. Pilot itu turut berkata kenyataan Que itu dibuat secara umum dan tidak menjejaskan dirinya langsung.
“Bagi saya, tak kira orang biasa, selebriti atau peminat berhak untuk menyuarakan pendapat mereka.
“Lagipun, dalam kenyataan dia tidak ada pula menyebut nama sesiapa. Jadi, perkara itu dikatakannya secara umum.
“Sama juga dengan peminat yang kadang-kadang apa yang dikatakan atau komen itu tidak ditujukan kepada mana-mana individu,” ujar Fattah kepada mStar Online.
Sebelum ini, menerusi laman sosialnya, Que menegur pelakon baharu yang tiada inisiatif meningkatkan kemahiran mutu lakonan dan masih lagi ‘kayu’.
Teguran itu membuatkan segelintir pihak membuat andaian ia berkemungkinan ditujukan kepada Fattah memandangkan sebelum ini dia pernah dilabelkan sebagai pelakon ‘kayu’.
Sementara itu, Fattah kini sibuk menjalani penggambaran drama terbarunya iaitu adaptasi bahasa Malaysia siri popular Korea Selatan berjudul Coffee Prince.
Menariknya, dalam siri ini Fattah bergandingan dengan Janna Nick pula yang juga merupakan kawan lamanya.
Jadi, kata Fattah, mereka tidak menghadapi masalah untuk mewujudkan keserasian.
“Saya dan Janna memang sudah berkawan sebelum bermula penggambaran dan pernah bekerjasama dengan klien produk yang sama.
“Tapi untuk lakonan, ini kali pertama kami berganding dan Alhamdulillah tidak ada masalah untuk cari keserasian.
“Malah, kami bawa hubungan persahabatan ini dalam drama supaya lebih senang untuk menjiwai watak,” ujarnya.

Tiada ulasan