Breaking News

Jejaka 'Jubah Lentik' Mengalah , Akui Jubah Lentik Kemahuan Diri Sendiri

PETALING JAYA: Susulan dikecam netizen kerana mengayakan jubah ala duyung di pagi 1 Syawal, jejaka berkenaan akhirnya mengalah dan menukar rekaan enam lagi busana labuh yang ditempahnya kepada potongan biasa.



Pemuda berusia 30 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Alif itu berkata, dia mengubah rekaan jubahnya selepas mengambil kira teguran positif dan nasihat dalam kalangan keluarga dan orang ramai.

Kata Alif, jubah potongan ala duyung itu sebenarnya atas kehendaknya sendiri dan ia bukan kali pertama dia berpakaian sedemikian.

"Setakat ini, saya ada lima jubah potongan sama termasuk jubah kuning dan merah jambu yang dipakai pada hari raya pertama dan kedua baru-baru ini.

"Tapi tak sangka jubah yang dipakai semasa raya itu menjadi tular di media sosial sehingga saya dikecam.

"Ada enam lagi jubah yang dihantar untuk dijahit tetapi belum siap, jadi saya akan minta pereka untuk menukarnya kepada potongan biasa selepas menerima teguran positif dan mengelak saya terus dikecam," katanya kepada mStar Online pada Jumaat.

Pada Khamis, mStar Online melaporkan pemuda ini dikecam selepas jubah yang dipakainya menampakkan susuk tubuh ditambah pula potongan di bahagian bawah ala ikan duyung seperti 'dress'.

Ia berikutan beberapa gambarnya kini tular di media sosial apabila menggayakan busana ‘jubah’ itu di tengah jalan, selain merakamkan penampilannya dengan bersandar pada sebuah kereta dengan gaya ‘melentik’.

Bagaimanapun, anak kelahiran Temerloh, Pahang ini kesal dengan kecaman netizen yang keterlaluan sehingga mengaitkan keluarganya.

"Isu jubah ini adalah masalah saya sendiri, tapi ada yang keterlaluan mengatakan saya kurang didikan agama daripada keluarga. Malah, lebih buruk ada yang menyamakan saya dengan haiwan. Bagaimana perasaan keluarga saya?

"Kalau nak tegur, buatlah secara baik. Jangan sampai mengaitkan keluarga saya dengan kata-kata yang buruk," kata anak bongsu daripada 10 adik-beradik ini.

Mengenai kecaman yang dilemparkan terhadapnya, Alif memberitahu ramai yang melabelkannya dengan pelbagai gelaran termasuk lelaki lembut dan transgender.

"Saya akur berperwatakan lembut tetapi saya tidak berpakaian wanita. Saya masih bekerja dan berpakaian seperti lelaki," katanya.

Sehubungan itu kata Alif, dia berharap penjelasan ini akan membuatkan netizen tidak lagi melemparkan fitnah dan kecaman.

"Saya bukanlah manusia yang sempurna, saya masih lagi memperbaiki diri. Anda semua di luar sana, doakan saya yang baik baik saja," katanya.



Tiada ulasan