-->

Header Ads

Pelajar tahfiz cedera tulang rusuk & lengan kanan selepas ditumbuk & dirotan warden



KUALA LUMPUR - Seorang pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah tahfiz di Shah Alam, Selangor, cedera tulang rusuk dan lengan tangan kiri selepas dipukul teruk oleh warden asrama sekolah tersebut minggu lalu, lapor Harian Metro.



Dalam kejadian yang didakwa berlaku pada jam 5 petang, 10 Mei lalu, mangsa terdahulu dipanggil untuk berjumpa dengan warden yang juga ustaz di sekolah tahfiz tersebut.

Difahamkan, warden bertanyakan pelbagai soalan peribadi, namun mangsa menafikan segala tuduhan yang diperkatakan lelaki itu.

Akibatnya, mangsa mendakwa dia telah dipukul dengan rotan selain turut ditumbuk pada tulang rusuk sehingga bengkak.

Selepas kejadian itu, mangsa segera menghubungi bapanya sebelum dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan, selain membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, pada keesokan harinya.

Menurut bapa mangsa, anaknya baru seminggu berpindah ke sekolah itu dan juga mendakwa kejadian itu bukan kejadian yang pertama kerana anaknya pernah didenda sebelum ini oleh individu yang sama kerana didakwa hadir lewat ke kelas.

"Anak saya kini trauma untuk ke sekolah dan masih lemah. Dia masih berasa sakit di badannya.

"Sebelum ini dia pernah dirotan, namun kejadian tempoh hari amat melampau dan ia tidak sepatutnya berlaku," katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, mengesahkan menerima laporan kes tersebut.

"Kertas siasatan sudah dibuka dan polis akan memanggil semua saksi yang terbabit dengan kejadian itu termasuk warden berkenaan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan," katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.