Header Ads

“Kutukan Kayu Orang Ramai Bantu Saya Baiki Diri”

Bintang Paling Popular ABPBH 3.0, Fattah Amin berkata, kutukan atau kritikan yang diterimanya selama ini telah berjaya mengubah dirinya daripada seorang yang digelar sebagai ‘pelakon kayu’. Hasilnya usahanya memperbaiki diri berbaloi apabila telah berjaya membuktikan bahawa anugerah Bintang Paling Popular ABPBH 3.0 menjadi miliknya.



“Kutukan- kutukan itu membantu sangat, kalau pertama kali saya masuk industri orang puji saya takkan sampai ke tahap ini. Alhamdulillah kritikan itu yang membuatkan saya sentiasa memperbaikinya”

“Sampai sekarang pun saya masih belajar, sekurang-kurangnya segala kritikan dan kutukan memotivasikan saya, syukur Alhamdulillah itulah yang membantu,” katanya yang ditemui sebaik selesai sahaja ABPBH 3.0.

Tambahnya lagi, untuk mencapai segala impiannya seperti hari ini bukanlah satu jalan yang mudah seperti yang disangkakan orang lain. Berbagai cabaran dan onak yang perlu ditempuhi oleh pelakon ini.

“Nak sampai ke tahap ini, bukan jalan berlenggang untuk sampai ke tahap ini. Sebab semua orang tahu orang kutuk, kritik saya, walaupun dekat luar orang cakap saya berlakon kayu. Jadi bagi saya untuk sampai ke tahap ini bukan senang-senang,” katanya yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang asas dalam lakonan sehinggalah terlibat dalam pencarian Hero Remaja.

Tahniah diucapkan sekali lagi kepada Fattah Amin di atas kejayaan besarnya pada malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 3.0 (ABPBH 3.0).
Dikuasakan oleh Blogger.