Jumaat, 14 April 2017

Tumbuk Muka Anak Tiri Kerana Tertekan

  Berita Premium       Jumaat, 14 April 2017
KUALA TERENGGANU - "Semasa kejadian, saya terlalu tertekan kerana dalam masa sama, arwah anak bongsu yang baru berusia sebulan menghidap penyakit jantung," penjelasan seorang lelaki dalam rayuannya sebelum dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana mendera anak tiri perempuannya yang juga seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori lembam.

'Saya terlalu tertekan ketika itu'

Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, hari ini, membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Asmadi Mohd Rani, 36, dari Kampung Tanjung Ketom Serada, di sini, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Tertuduh mengaku salah sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas mangsa yang ketika kejadian berusia sembilan tahun menganiayainya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Dia mengaku salah melakukan perbuatan tersebut di sebuah bilik di Taman Selasih, Kampung Padang Landak, Jertih, Besut, kira-kira jam 10 malam, pada 26 April 2016.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya juga memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana sudah insaf selain perlu menjaga isteri dan mangsa yang juga tinggal bersamanya kini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asyraf Minhad di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Tindakan kejam tertuduh terbongkar apabila ketua kampungnya membuat laporan polis, kira-kira jam 6 petang, pada 28 April 2016, selepas menerima maklumat daripada penduduk yang mangsa dipukul sehingga mengalami kecederaan.

Mangsa dipercayai ditumbuk di muka dan dipukul dengan penyangkut baju serta wayar dan akibat perbuatan itu, mangsa mengalami kecederaan lebam di mata serta luka di seluruh badannya.

Ibu mangsa mengakui tidak dapat berbuat apa-apa kerana takut dengan suami yang baru dikahwininya pada tahun 2015  selepas berpisah dengan bekas suami.
logoblog

Thanks for reading Tumbuk Muka Anak Tiri Kerana Tertekan

Previous
« Prev Post

Tiada ulasan:

Catat Ulasan