Isnin, 24 April 2017

Remaja Maut Selepas 12 Jam Dipukul Abang Kekasih

  Berita Premium       Isnin, 24 April 2017
KOTA KINABALU: Seorang ibu terkejut apabila mengetahui anak lelakinya maut di dalam rumah, hanya 12 jam selepas pulang ke rumah dalam keadaan hidung berdarah.
Pelajar Tingkatan Empat SMK Kuhara di Tawau itu dikatakan dipukul abang kekasihnya tetapi memberitahu ibunya insiden berpunca dipukul individu tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata, Mohd Ayieruchizamsyah Lambang, 16, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas diperiksa ibunya di rumah mereka di Kg Pisang di Tawau pada kira-kira pukul 7.30 pagi Isnin.
Beliau berkata, polis menahan seorang buruh berusia 19 tahun yang tidak mempunyai dokumen untuk siasatan berhubung kematian remaja berkenaan.
Suspek dipercayai abang kekasih mangsa.
Fadil berkata, ibu Mohd Ayieruchizamsyah memaklumkan anaknya yang merupakan tiga daripada lima adik beradik itu pulang ke rumah dalam keadaan hidung berdarah, pada kira-kira pukul 7.30 malam Ahad.
"Dia beritahu dia dipukul individu tidak dikenali. Anaknya kemudian masuk ke dalam bilik dan tidur pada kira-kira pukul 8 malam Ahad," katanya sambil menambah anak wanita itu ditemui tidak sedarkan diri pada pagi Isnin.
Fadil berkata, siasatan awal menunjukkan remaja lelaki itu pergi ke taman permainan Taman Sentosa untuk bertemu dengan kekasihnya berusia 15 tahun, dan ia disedari abang kekasihnya.
Suspek dikatakan memarahi mereka dan mempersoalkan ke mana remaja itu merancang untuk membawa keluar adik perempuannya.
Suspek mengarahkan adiknya pulang ke rumah sebelum menumbuk mangsa yang kemudiannya melarikan diri.
Beliau berkata, suspek kemudian mengambil sebatang kayu dan memukul remaja terbabit di kepala tetapi mangsa tergelincir dalam tanah berlumpur sebelum terjatuh.
Dua orang awam membantu menghentikan kejadian daripada terus berlaku dan remaja tersebut dibenarkan pulang ke rumah.
Beliau berkata, polis percaya motif kejadian bagi melarang mangsa daripada terus menjalinkan hubungan dengan kekasihnya, yang sebelum itu lari dari rumah bersama mangsa.
Menurut Fadil, polis turut menahan kekasih mangsa untuk membantu siasatan.
logoblog

Thanks for reading Remaja Maut Selepas 12 Jam Dipukul Abang Kekasih

Previous
« Prev Post