Header Ads

Persendakan Nama Watson Nyambek, Pengacara Mohon Maaf

PETALING JAYA: Pengacara Ammar memohon maaf atas keterlanjurannya mempersendakan nama bapa bekas pelari pecut negara Watson Nyambek dalam sebuah program komedi Sukan Tak Sentral. 
Ammar, 30, berkata, perkara tersebut menjadi pengajaran besar terhadapnya dan berjanji akan lebih peka dalam menjaga sensitiviti masyarakat.


"Dengan rasa rendah diri, saya ingin memohon maaf atas keterlajuran saya terhadap Watson dan keluarganya. Tanpa sedar kami telah mencalar nama baik mendiang bapanya.

"Segala panduan dan teguran akan dijadikan panduan buat saya menjalankan tugas di depan hari dan saya akan lebih peka dalam menjaga sensitiviti masyarakat pada masa akan datang," ujarnya menerusi laman sosial Instagram malam Ahad.

Menerusi program yang disiarkan pada malam Sabtu, hos program itu, Ammar mempersendakan nama bapa Watson dengan menyamakan dengan bunyi seekor binatang.

Perkara itu turut mendapat reaksi Watson sendiri yang menonton program itu di Facebook miliknya selain melahirkan rasa kecewa dan tersinggung dengan perbuatan menghina bapanya yang telah meninggal dunia tiga tahun lalu.

Reaksi Watson itu turut mendapat reaksi daripada netizen dan isu itu mula menjadi hangat apabila video rakaman program itu mula tersebar di laman sosial.

"Orang hina saya miskin, bankrap, tak ada apa saya terima, nak ketawakan saya apa boleh buat,nasib kita macam tu,tapi bapa saya bukan binatang untuk dipersendakan.” tulis Watson dalam Facebooknya.

Menurut laporan Bernama, Watson juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap program tersebut

Ammar atau nama sebenarnya Azizul Ammar Abu Hassan berkata, dia menghormati atlet terkemuka tanah air itu yang telah mencipta nama dan mengharumkan nama Malaysia ke peringkat antarabangsa. Dia juga berjanji tidak akan mengulangi perkara berkenaan.

"Sekali lagi saya mohon maaf kepada semua dan akan pastikan kesilapan ini tidak akan berlaku lagi," ujarnya.

Terdahulu, Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studios) turut mengeluarkan permohonan maaf kepada Watson dan keluarganya.

Dikuasakan oleh Blogger.