-->

Header Ads

Irwansyah rindu peminat Malaysia

TAWARAN berlakon drama 60 episod berjudul Dia terbitan OrangTree Production Sdn. Bhd., dari Malaysia umpama bulan jatuh ke riba dan tanpa berfikir panjang Irwansyah terus menerima lamaran tersebut.

Baginya drama yang bakal disiarkan di TV3 itu bukan sekadar memberi peluang kepadanya untuk berlakon dengan artis Malaysia malah kesempatan itu juga mampu menggilap kembali namanya di negara ini.

Irwansyah, 32, adalah antara artis Indonesia yang cukup disenangi peminat tempatan sejak filem pertama lakonannya, Heart (2006) yang ditayangkan di sini mendapat sambutan hangat.

Bukan setakat filem, lagu dendangannya seperti Pencinta Wanita, My Heart (berduet dengan Acha Septriasa), Ku Tunggu Jandamu dan Camelia turut menjadi siulan pendengar tempatan.

“Ini drama pertama saya dengan produksi Malaysia. Saya seronok apabila ditawar berlakon drama Dia kerana saya dapat bekerjasama dengan teman-teman dari Malaysia dan secara tidak langsung saya juga bisa berkunjung ke sana. Masih ada lagi adegan saya yang belum selesai dan saya akan ke Malaysia lagi untuk penggambaran.

Kesibukan di lokasi tidak menghalang Irwansyah untuk menguruskan perniagaan kedai keknya.

“Memang seronok dapat berkolaborasi dengan rakan artis Malaysia seperti Janna Nick, Izara Aishah dan abang Zamarul Hisham. Janna memang lucu, dia suka bercanda sewaktu di lokasi jadi saya tidak kekok berlakon dengannya. Begitu juga dengan Izara, dia cepat mesra dan penggambaran berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di Bogor, Indonesia.

Bercerita tentang watak yang dibawa, kata Irwan, Adit merupakan seorang anak yang menurut kata dan karakter itu tidak jauh berbeza dengan peribadinya.

“Tak ada masalah untuk saya melakonkan watak Adit kerana tidak jauh bezanya dengan diri sendiri. Lagipun pasangan lakon saya Janna yang bawa watak Aira dan Izara (Emelda) masing-masing profesional dan kami cepat serasi.

“Cuma bezanya, kami terpaksa berdepan dengan dua pengarah iaitu abang Eoon Shuhaini di Malaysia dan bapa Omar Ali Adly di Indonesia. Cara mereka berbeza tapi kedua-dua pengarah memberi kebebasan kepada pelakon,” jelasnya.

Dia yang sering diberi watak lelaki baik berkata, jika ada peluang melakonkan watak jahat sudah lama dia terima seperti yang ditonjolkan dalam sinetron Senandung Masa Puber musim kedua.

“Aduh! Saya sendiri kepingin berlakon jadi antagonis tapi dibilang pengarah wajah saya tidak sesuai sebab nampak baik.

“Meskipun saya sering diberi watak baik, setiap kali berlakon saya akan pastikan karakter yang dibawa berbeza,” kata Irwan.


Dikuasakan oleh Blogger.