-->

Header Ads

Gantung seumur hidup jika terlibat dengan bookie perlawanan

Kota Kinabalu – Pemain dan pegawai bola sepak yang terlibat dalam mengatur keputusan perlawanan akan digantung seumur hidup daripada sebarang aktiviti sukan itu.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata keputusan itu adalah antara sasaran baru Exco FAM untuk menangani isu rasuah dalam bola sepak negara.
“Kami (FAM) akan melakukan yang terbaik dengan pihak berkuasa, sama ada polis atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menangani masalah keganasan, mengatur perlawanan dan sebagainya.
“Buat masa ini, jawatankuasa disiplin, jawatankuasa integriti dan semua lembaga disiplin perlu lebih tegas kerana saya tidak berkompromi apabila membabitkan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco FAM yang pertama sejak jawatankuasa bagi penggal 2017-2021 dilantik pada 25 Mac lepas, di sini hari ini.
Gantung seumur hidup jika terlibat dengan bookie perlawanan
Tunku Mahkota Johor itu juga berkata FAM telah memberi akses penuh kepada SPRM untuk menyiasat secara menyeluruh ke atas semua persatuan bola sepak negeri dan kelab serta badan induk itu sendiri, bagi membantu FAM menangani rasuah bola sepak.
Beliau juga berkata penyokong pasukan yang terlibat dalam keganasan sewaktu perlawanan akan juga mengakibatkan pasukan mereka dipotong mata, berbanding hukuman denda kerana gagal mengawal penyokong mereka.
Beliau menjelaskan denda yang dikenakan ke atas persatuan atau kelab tidak mampu menebus kesakitan atau kesukaran yang dialami pasukan terlibat dan penyokong mereka perlu menanggung sama tanggungjawap atas sikap mereka.
“Oleh itu, akan ada potongan mata supaya penyokong sedar apabila mereka mencetuskan kekecohan, mangsa sebenar adalah pasukan mereka, bukannya persatuan atau ahli kelab,” katanya.
Mengenai pelantikan jurulatih kebangsaan, Tunku Ismail berkata beliau akan menemui beberapa jurulatih luar negara dalam masa terdekat dan dijangka menamakannya dalam masa beberapa minggu lagi. – Bernama

Dikuasakan oleh Blogger.