Header Ads

Dr Mahathir Cermin Diri Dulu - Idris Ahmad

PETALING JAYA: PAS menggesa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya cermin dirinya dahulu kerana menuduh orang lain memecahbelahkan orang Melayu.

Dalam satu kenyataan membidas pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, Dr Mahathir adalah sebab mengapa orang Melayu berpecah-belah.



"Selama 22 tahun Tun berkuasa, tiga timbalan perdana menteri terpelanting. Lahir team A dan team B di  dalam Umno sehingga Umno diharamkan.

"Zaman Tun lahirnya Parti Semangat 46 dan Parti Keadilan Rakyat," katanya.
Mahathir menerusi blognya pada Isnin lalu berkata, PAS merupakan punca perpecahan dalam kalangan orang Melayu selepas ia enggan bekerjasama dengan parti pembangkang,

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu turut mendakwa Dr Mahathir merupakan punca persempadanan semula pilihan raya yang disifatkan tidak adil buat orang Melayu.

Terdapat perubahan undi Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 1999 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri pada tahun sebelumnya.
"Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat, maka Tun telah mewujudkan persempadanan semula sehingga merosakkan kerusi Melayu," katanya.

Idris berkata, bekas perdana menteri itu tidak seharusnya menyimpan dendam terhadap parti Islam yang mahu menentukan hala tuju sendiri.

"PAS masih di blok pembangkang. Jangan perasan Tun sahaja hendak melawan BN.

"PAS juga melawan BN. Semasa Tun berkuasa pun kami lawan. Tun baru hendak belajar melawan BN. Sekarang baru Tun tahu betapa peritnya menjadi pembangkang di Malaysia," katanya.

Idris berkata, PAS tidak berminat untuk melawan dengan Dr Mahathir yang "sudah tidak berkuasa".
"Tetapi apabila Tun serang PAS, maka PAS akan mempertahankan diri," katanya.

Dikuasakan oleh Blogger.