Header Ads

Anak Jatuh Tingkat 17 : Terlalu Banyak Ujian Kepada Saya - Bapa Mangsa

KUALA LUMPUR: Seorang bapa tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila anak lelakinya yang berusia empat tahun maut akibat terjatuh dari balkoni sebuah pangsapuri tingkat 17 di sini.

"Terlalu banyak...terlalu banyak ujian Tuhan untuk saya," kata Mohd Azmil Amat, 31, sambil mengesat air matanya.



Beliau ditemui di luar bilik mayat di Hospital Kuala Lumpur, Ahad.

Katanya, sejak enam tahun lalu, keluarganya sering ditimpa musibah.

Tidak lama selepas anak perempuannya dilahirkan, ibu Mohd Azmil telah meninggal dunia.
Kemudian, restorannya di Tanjung Malim tidak dapat diuruskan dengan baik dan terpaksa ditutup.
Tidak cukup setakat itu, anak perempuannya kemudian disahkan menghidap masalah jantung dan perlu menjalani pembedahan.

Ketika beliau dan isteri yang perlu memberikan tumpuan kepada anak perempuannya di Institut Jantung Negara, mereka menerima satu lagi ujian.

"Sekarang, anak lelaki saya pula tiada," kata Mohd Azmil, yang masih terkejut dengan tragedi itu.
Mohd Aqil Azizan yang berada di bawah jagaan datuk dan neneknya, terjatuh dari balkoni pangsapuri di kawasan kediaman dekat Lorong Haji Hussein 2 di Kuala Lumpur pada pukul 5.45 pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata siasatan menunjukkan tiada unsur jenayah.

"Dua kerusi didapati diletakkan di pintu balkoni, yang dipercayai telah digunakan oleh budak lelaki berkenaan untuk memanjat pagar sebelum terjatuh.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Datuk kanak-kanak itu, Mat Radin, 60, berkata beliau sedang berada di rumah ketika kejadian.
"Dia sedang tidur dengan saya sebelum bangun dan pergi ke ruang tamu. Saya fikir dia mahu bermain sorok-sorok," katanya.

Bomba yang tiba di tempat kejadian terpaksa memeriksa dari pintu ke pintu untuk mengetahui dari mana kanak-kanak itu terjatuh.

Mat berkata, beliau hanya menyedari kejadian itu apabila anggota Bomba datang mengetuk pintu rumahnya.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.