-->

Header Ads

Aiman Tino Ada Hak Dibayar Tinggi, Dia Ada ‘Value’ - Pengurus

PETALING JAYA: Kontroversi berpanjangan membabitkan penyanyi Aiman Tino yang dikatakan perlu dibayar tinggi  dalam sesebuah persembahan menimbulkan rasa kurang senang pihak syarikat pengurusannya.

Related image

Menurut Mahadhir Mohamad selaku pengurus Aries Music, penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu layak menerima bayaran tinggi berdasarkan populariti, nilai komersial dan permintaan terhadapnya.
"Apa salahnya jika kami meletakkan kadar bayaran tertentu mengikut kemampuan penganjur.

"Perkiraan yang dibuat adalah berdasarkan kaedah ekonomi iaitu selagi ada demand (permintaan), selagi itulah wujudnya supply (penawaran).

"Pada masa ini jadual Aiman sangat padat, setiap minggu ada saja acara yang perlu dihadirinya. Ini bermakna dia mempunyai nilai atau value untuk mendapat bayaran tinggi," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Mahadhir ditanya mengenai rungutan beberapa pihak yang masih lagi kedengaran mengenai kadar bayaran tidak masuk akal syarikat pengurusannya berdasarkan usia dan pengalaman penyanyi itu.
mStar Online juga turut menerima maklum balas individu tertentu yang mendedahkan wakil Aiman Tino didakwa meletakkan kadar bayaran sehingga RM12,000 bagi persembahan di Semenanjung dan RM14,000 jika mengadakan persembahan di Sabah atau Sarawak.

Kadar bayaran itu adalah bagi persembahan yang menggunakan minus one untuk satu hingga tiga buah lagu tidak termasuk tiket penerbangan pergi dan balik serta penginapan.

Maklumat itu dilihat bertentangan dengan kenyataan bapa kepada Aiman iaitu  Yusri Ishak, 48, sebelum ini yang menyatakan bahawa pihaknya tidak meletakkan kadar tinggi malah sedia menerima bayaran serendah RM1,500 untuk menjayakan sesebuah persembahan.

Dalam pada itu jelas Mahadhir, penentuan harga tidak dibuat secara tetap sebaliknya berdasarkan beberapa pertimbangan tertentu.

"Paling penting kami perlu jaga tahap kesihatan Aiman sendiri. Maknanya jadual disusun mengikut kemampuannya.

"Selain itu kami juga buat pertimbangan mengikut budi bicara. Memang ada Aiman hadir ke majlis yang hanya diberi token RM1,000 hingga RM2,000.

"Tapi takkan pula harga yang sama perlu diletakkan bagi syarikat korporat yang jemput Aiman buat persembahan majlis makan malam? Tak logik dan pada masa sama ia seperti merosakkan harga pasaran," katanya.

Tambah Mahadhir, mengikut kontrak, syarikat rakaman akan menerima 25 peratus daripada kadar bayaran yang diterima Aiman.

Jelasnya lagi, kebiasaan kadar bayaran untuk Aiman mengadakan persembahan di sekitar Kuala Lumpur serendah RM6,000.

"Memang kadang-kadang kami mengenakan caj sebanyak RM10,000 untuk dia menyanyikan sehingga tiga buah lagu. Namun bukan semuanya begitu, ia mengikut kemampuan penganjur.

"Ada juga saya menerima undangan ke majlis meraikan anak yatim di masjid, tak mungkin Aiman perlu dibayar dengan harga yang tinggi," katanya.

Sementara itu Aiman sendiri ketika ditemui berkata dia menyerahkan sepenuhnya urusan soal bayaran kepada syarikat pengurusan dan bapanya.

"Kalau tanya bab bayaran, saya pun saya tak tahu. Biasanya pihak syarikat akan selesaikan dengan ayah.

"Tapi setahu saya bayarannya antara RM6,000 hingga RM8,000 untuk empat buah lagu. Kalau lebih pun tak ia tak melebihi RM10,000.

"Memang saya tak ambil tahu. Buat masa sekarang saya percaya dengan pengurus," katanya.
Dikuasakan oleh Blogger.