Rabu, 29 Mac 2017

Pemandu Uber, Grabcar Tidak Terkecuali Isytihar Pendapatan - LHDN

  Berita Premium       Rabu, 29 Mac 2017
KUALA LUMPUR: Kalangan pemandu perkhidmatan Uber dan GrabCar yang bekerja separuh masa tidak terkecuali daripada mengisytiharkan pendapatan masing-masing kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).



Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah menegaskan, ini kerana  mereka tertakluk untuk dicukai jika memperoleh pendapatan daripada perkhidmatan itu selain sumber pendapatan tetap yang melebihi minimum RM30,000 setahun.

"Pendapatan (Uber dan GrabCar) itu wajib diisytiharkan sebagai pendapatan tambahan dalam Borang B," katanya pada sidang media bersempena sesi minum petang bersama media di sini, Rabu.

Mengulas selanjutnya, Sabin berkata pelaksanaan aplikasi tempahan Uber dan GrabCar itu secara berkomputer sepenuhnya juga membolehkan agensi cukai itu mendapatkan senarai pemandu serta jumlah pendapatan mereka.

Malah, LHDN juga dapat memperoleh maklumat pendapatan individu itu menerusi pihak bank apabila mereka membuat pembelian hartanah ataupun kenderaan.

Selain itu, Sabin berkata LHDN akan mempertingkatkan usahanya untuk menjalankan siasatan audit dan cukai terhadap syarikat multinasional berikutan ada syarikat berkenaan terbabit dalam perbuatan mengelak cukai.

Atas alasan itu, katanya, LHDN telah menubuhkan Bahagian Perancangan Cukai Agresif yang berkemungkinan membawa kepada kutipan (cukai) kira-kira RM400 juta dari syarikat multinasional.

Menurutnya, pada 2016, LHDN dapat mengutip cukai langsung sebanyak RM114.015 bilion biarpun dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

"Daripada jumlah itu, komponen cukai individu adalah kira-kira 26.45 peratus, cukai korporat (57.75 peratus), cukai petroleum (7.39 peratus) dan selebihnya daripada lain-lain komponen," katanya.

LHDN telah menetapkan sasaran kutipan cukai langsung sebanyak RM127.73 bilion dan akan menumpukan sektor yang memberi sumbangan signifikan kepada keluaran dalam negara kasar seperti sektor pembuatan dan perkhidmatan.-- Bernama

logoblog

Thanks for reading Pemandu Uber, Grabcar Tidak Terkecuali Isytihar Pendapatan - LHDN

Previous
« Prev Post

Tiada ulasan:

Catat Ulasan