Khamis, 30 Mac 2017

Boleh tangkap Peragut tapi jangan dicederakan - Polis

  Berita Premium       Khamis, 30 Mac 2017
IPOH, PERAK - Polis memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dan keterlaluan termasuk mencederakan atau membebaskan individu yang disyaki melakukan jenayah yang mereka ditahan, lapor Berita Harian.



Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, sebaliknya orang ramai hanya perlu menyerahkan individu yang disyaki itu kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Sekiranya terdapat unsur jenayah dalam kejadian yang membabitkan tindakan orang ramai yang menghukum atau mencederakan suspek, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap mereka (orang ramai)," katanya.

Hasnan berkata, berlaku dua kes baru-baru ini termasuk petang semalam di Kuala Kangsar dan Ipoh di mana orang ramai bertindak sendiri mencederakan suspek selepas disyaki melakukan jenayah.

"Dalam kejadian jam 4.30 pagi 26 Mac lalu di Kampung Kubang Panjang Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, seorang lelaki berusia 30'an tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
"Selepas dibawa ke hospital untuk rawatan, suspek berada dalam keadaan koma dan memerlukan rawatan intensif. Siasatan polis mendedahkan, lelaki berkenaan telah dicederakan selepas ditangkap oleh penduduk setempat kerana didapati cuba mencuri," katanya.

Ekoran kejadian itu, empat lelaki berusia antara 19 hingga 74 tahun ditahan kerana disyaki mencederakan lelaki berkenaan sebelum kes diklasifikasi sebagai bunuh selepas suspek curi itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, kira-kira 12 jam kemudian.

"Dalam kes kedua kira-kira jam 4 petang semalam di Ipoh, seorang wanita berusia 68 tahun didatangi dua lelaki berusia lingkungan 20'an yang kemudian mengugut mangsa untuk mendapatkan wang. Mangsa menjerit dan orang ramai yang berada berhampiran datang memberi bantuan.

"Suspek telah ditangkap dan dicederakan orang ramai, namun dilepaskan tanpa diserahkan kepada polis untuk diambil tindakan lanjut.

"Bagaimanapun kedua-dua suspek berkenaan berjaya ditangkap semula dan kini disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun," katanya.

Berdasarkan kedua-dua kejadian itu, Hasnan memohon dan menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri tanpa merujuk kepada polis untuk diambil tindakan lanjut.
logoblog

Thanks for reading Boleh tangkap Peragut tapi jangan dicederakan - Polis

Previous
« Prev Post

Tiada ulasan:

Catat Ulasan