Ahad, 18 Disember 2016

Di Gelar Jeneral Syaitan, Sahara Yaakob Tak Ambil Kisah Komen Isu Buka Tudung

  Berita Premium       Ahad, 18 Disember 2016
Manusia diberi akal untuk berfikir dan mampu menilai mana yang baik dan buruk untuk membuat pilihan. Minggu lalu, dalam ruangan ini saya kongsikan detik keharuan penyanyi Sahara Yacob, 60, apabila diberi penghargaan membuat persembahan di Anugerah Melodi 2016 yang julung kali dianjurkan TV3 pada 10 Disember lalu.



Peluang membuat persembahan dalam majlis anugerah begitu sememangnya menjadi harapan setiap penyanyi, apatah lagi bagi mereka yang pernah meninggalkan dunia seni agak lama seperti Sahara.

Malah Sahara menyifatkan peluang itu sangat menyentuh hatinya, ibarat mati hidup semula. Ini adalah penampilan pertamanya selepas 15 tahun tidak menyanyi dan disiarkan pula secara langsung menerusi TV3.

Bagaimanapun, persembahannya pada penghujung majlis ketika segmen bersama Saleem Iklim dan Mus May, mencetuskan kontroversi apabila Sahara muncul tanpa bertudung ketika menyampaikan lagu Peronda Jaket Biru. Ketika berita mengejutkan mengenai kehidupannya yang susah dan miskin, Sahara tampil bertudung kemudian sedikit demi sedikit kehidupannya mula berubah menjadi lebih baik hingga diberi bantuan rumah.

Sejak dua tahun lalu Sahara bertudung tetapi apabila berada di pentas, sekali lagi Sahara me­ngejutkan umum apabila menyanyi tanpa bertudung hingga hangat diperkatakan.

Apabila ini terjadi, ramai terlepas pandang akan kehebatan vokal dan persembahannya yang bertenaga kerana ia tidak diperkatakan.

Keadaan masyarakat dahulu dan sekarang tidak sama kerana reaksi mereka begitu pantas bertebaran dalam media sosial hingga ramai menjatuh hukum.

Namun Sahara yang pernah mendapat jolokan Tina Turner Malaysia pada era 1980-an, tetap tenang berhadapan kontroversi itu. Seperti katanya, lebih teruk daripada itu sudah dilaluinya hingga pernah digelar Jeneral Syaitan oleh pendakwah terkenal.

Sahara terbuka terhadap segala kritikan dan kecaman masyarakat kerana itu adalah pilihannya sendiri.

Sebenarnya kita tidak berhak mempersoalkan tindakan Sahara kerana itu adalah pilihannya sendiri dan soal dosa dan keimanan seseorang itu adalah milik Allah Yang Maha Berkuasa.

Kita juga tahu sejarah silam Sahara dan bagaimana masa lalunya, jadi tiada apa yang boleh dipersoalkan dan diperkatakan mengenai tindakannya itu. Segala kecaman dan cemuhan terhadapnya hanya mengundang dosa kepada yang mencemuhnya.

Cuma dalam melang­kah usia 60 tahun, Sahara buatlah pilihan terbaik untuk diri dan masa depannya. Jika mahu terus menyanyi, tidak salah kalau bertudung kerana menutup aurat itu adalah wajib bagi setiap wanita Islam yang baligh. Tidak ada pengecualian.

Sahara juga sudah bersedia dan tahu dirinya akan dikritik malah kalau bertudung pun, dia yakin akan tetap dikritik tetapi mana satu yang lebih baik? Dikritik kerana membuka tudung atau diperkatakan kerana menyanyi rock dengan bertudung.

Apa yang dipilih Sahara lebih kepada membuka langkahnya untuk kembali ke masa silam. Dalam apa keadaan pun, sebenarnya ada cara dan jalan supaya terus teguh dengan prinsip.

Manusia juga diberi peluang untuk berubah dan apabila ingin berubah ke arah lebih baik, memang banyak dugaan dan godaan yang harus dilalui.

Semua inilah yang akan menguji keimanan dan keteguhan prinsip sese­orang. Lagi hebat dugaan dilalui, lagi banyak pahala diterima jika terus tabah dan sabar.

Kembali menyanyi di kelab malam umpama kembali kepada kehidupannya yang dahulu. Seharusnya Sahara tidak berpatah semula sebalik­nya terus maju ke hadapan.

Mungkin ada impian yang ingin dicapainya dan melihat inilah masa dan ketikanya untuk menyerlahkan dirinya di hadapan umum.

Ketika pembabitannya dalam dunia seni dahulu, dirinya lebih dikenali sebagai penyanyi kelab malam dan penuh dengan kontroversi. Mungkin ramai yang tidak tahu kalau sebut nama Sahara, apakah lagu popularnya?

Harap ada pihak yang memberi peluang kepada Sahara untuk membuktikan kemampuan dirinya dan meninggalkan sesuatu sebelum menutup mata.

Siapa tahu selepas ini, Sahara merakamkan lagu dan mendapat sambutan luar biasa hingga melakar sejarah manis dalam kerjaya seninya.

Penyanyi Anita Sarawak melakar kejayaan di negara orang tetapi apabila kembali ke Malaysia, dia menggegarkan dunia seni tanah air dengan lagu Seksis. Bukan hanya menya­nyi, malah Anita juga diterima sebagai pengacara.

Cuma buatlah pilihan yang paling baik supaya diri lebih dihargai dan dihormati, bukannya kembali kepada kehidupan masa lalu yang penuh dengan kontroversi
logoblog

Thanks for reading Di Gelar Jeneral Syaitan, Sahara Yaakob Tak Ambil Kisah Komen Isu Buka Tudung

Previous
« Prev Post

Tiada ulasan:

Catat Ulasan