Selasa, 4 Oktober 2016

Nama Artis, Watak Drama Popular Jadi Pilihan Daftar Kelahiran

PUTRAJAYA: Pelbagai watak menerusi drama Melayu yang ditayangkan di saluran televisyen setiap hari ternyata memberi kesan kepada penonton apabila ada yang mendaftarkan kelahiran anak mereka berdasarkan nama watak atau pelakon popular.



Ada kalanya ia bagaikan trend apabila permohonan yang diterima Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seiring dengan nama selebriti  yang menjadi perhatian dan sebutan ramai.

Menceritakan pengalaman mereka, petugas-petugas di kaunter JPN kepada mStar Online berkata, ada anak yang didaftarkan dengan nama Anas Mikael sempena drama bersiri Tuan Anas Mikael, lakonan Aaron Aziz.

Drama bersiri adaptasi novel yang ditayangkan di Astro Ria akhir tahun lalu turut memberi tempias kepada gandingan utamanya, Zara Zya sebagai idea untuk ibu bapa mendaftarkan kelahiran anak mereka sempena nama pelakon itu.

Antara watak lain yang menjadi pilihan untuk mendaftarkan kelahiran ialah Mukhriz, menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz di slot Akasia di TV3, baru-baru ini.

“Bukan sahaja drama yang ditayangkan baru-baru ini, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah ada drama-drama lain yang turut mempengaruhi nama kelahiran.
“Contohnya, drama Vanila Coklat lakonan Izara Aishah dan Aiman Hakim Ridza. Nama dua pelakon ini turut menjadi pilihan untuk pendaftaran kelahiran,” ujar petugas yang merujuk kepada drama komedi romantik yang ditayangkan di TV3 pada 2011.

Mengulas perkara itu, Ketua Pengarah JPN, Mohd Yazid Ramli berkata, pemilihan nama anak bergantung kepada keputusan ibu bapa semasa mendaftarkan kelahiran.
Katanya, JPN mengeluarkan garis panduan mengenai prosedur menamakan kanak-kanak pada 2006 seperti penggunaan nama yang tidak sesuai dan dilarang.
“Selagi nama-nama itu bukan yang dilarang atau tidak sesuai, kita benarkan. Ada juga nama-nama yang menarik dan popular itu membawa maksud baik, jadi kita galakkan  asal tidak beri kesulitan kepada si anak seperti namanya terlalu panjang atau boleh mengaibkan,” kata Mohd Yazid kepada mStar Online.
Bagaimanapun, secara umum, pilihan nama-nama watak dan pelakon untuk bayi yang baru dilahirkan adalah bermusim, mengikut drama popular yang sedang ditayangkan ketika itu.
Seperti ‘Tundukkan Playboy Itu’ yang ditayangkan awal tahun ini, watak Harraz Naufal dan Nurin Arissa, masing-masing dimainkan oleh pelakon Hafidz Roshdi dan Uqasha Senrose turut menjadi pilihan. 
Begitu juga Nur Kasih, drama lakonan Tiz Zaqyah dan Remy Izhak yang pernah menjadi sebutan sewaktu tayangannya pada 2009. 
Selain Izara dan Aaron, nama pelakon Mia Ahmad juga menjadi pilihan untuk pendaftaran kelahiran menerusi beberapa drama bersiri popular lakonannya seperti  Mr Boss Miss Stalker (2016) dan Hati Perempuan (2015). 
Dalam pada itu, salah seorang kakitangan JPN, Rashidah Md Rashid berkata, nama-nama popular adalah kebiasaan yang sering diajukan pemohon semasa bertugas di kaunter pendaftaran kelahiran. 
“JPN tetap memberi perkhidmatan walaupun kadang-kadang permintaan memberikan nama anak adalah luar dari kebiasaan disebabkan keterujaan pelanggan terutama yang pertama kali mendapat cahaya mata. 
“Pada masa sama, JPN bertanggungjawab mendapatkan pengesahan untuk pendaftaran kelahiran bagi mengelak sebarang kesilapan,” katanya yang berkhidmat di JPN sejak 11 tahun lalu. 
Beliau turut berkongsi pengalamannya semasa mendapatkan pengesahan ejaan nama anak daripada seorang bapa yang merujuk kepada nama pelakon Aaron Aziz. 
“Saya tanya, betul ke ejaan nama ada dua A, dia jawab ya ikut ejaan nama Aaron Aziz. Isteri saya suka watak dalam drama yang dimainkan pelakon itu. 

“Bukan Aaron Aziz saja, contoh macam Mia Ahmad, ada yang kata nama itu diberi dengan harapan anak mereka nanti cantik macam Mia Ahmad,” ujar Rashidah.

Tiada ulasan:
Write ulasan