Ahad, 2 Oktober 2016

‘Kerja Cari Duit’, Bukan Alasan Suami Untuk Lepas Tanggungjawab Didik Anak Kepada Isteri

Adui, ini adalah kali kedua saya dimaklumkan oleh bapa murid.
” Cikgu, kalau ada apa-apa urusan persekolahan, berurusan dengan orang rumah ya. Saya ni kerja sampai malam. Hal sekolah semua dia yang uruskan.”
Apa saya nak rasa ya?
Saya teringat 6 ke 7 tahun lepas, waktu tu saya belum punya anak. Tak pernah lekat langsung pun walau sudah bertahun berkahwin. Saya pergi ke hospital, klinik OnG untuk pemeriksaan.
Kali pertama pergi dengan suami. Oleh kerana proses mengambil masa yang sangat panjang, kali kedua saya pergi seorang sahaja. Kasihan suami kena cuti kerja.
Bila nurse nampak saya datang seorang, teruslah kena bebel panjang.
“Nak dapat anak kan proses bersama. Libatkan suami isteri. Mana boleh sorang-sorang saja nak keluarkan anak. Kalau awal-awal begini pun macam ni, esok lusa nanti lagi lah susah kena buat sorang-sorang semua.”
Ok, sejak itu dan sehingga masuk anak ketiga ni, semua pemeriksaan doktor yang melibatkan anak, akan dihadiri oleh kami berdua. Kecuali jika waktu kecemasan yang memerlukan tindakan segera.
Apa yang ingin saya sampaikan, urusan kebajikan anak adalah tanggungjawab bersama. Masa nak dapatkan anak boleh bersama-sama mengapa bila membesarkannya tak boleh sama-sama.
Taklah bermaksud nak hantar ke sekolah setiap hari pun kena bersama-sama, tapi sekurang-kurangnya ambil tahu anak duduk kelas mana, siapa kawan baik anak, siapa guru kelasnya, anak pergi sekolah ke tak, anak sakit ke?
Betul tak?
Jangan lepaskan semuanya ke tangan isteri semata-mata dengan alasan ‘aku kerja cari duit’. Disiplin anak-anak biasanya terletak di tangan bapa. Pengecualian bagi anak-anak yang memang tidak lagi punya bapa.
Anak-anak yang tak punya bapa mereka ada satu sikap lain yang memahami akan keadaan ibunya. Tapi anak-anak yang berbapa tak ambil peduli, akan ada satu sikap ‘arghh, bapak pun tak marah, mak nak cakap apa je!’.
Sekian, harap tak ada yang sentap.
Nor Azleen Abd Rahim
Professional Mommy
#cikguazleen 

Tiada ulasan:
Write ulasan