Jumaat, 7 Oktober 2016

'Dia Tolong Kucing Itu, Bukan Dia Sengaja Nak Lempar' - Saksi

SHAH ALAM - Gambar seorang wanita yang kelihatan seperti melempar seekor kucing hitam dalam gambar yang tersebar di media sosial, cetus pelbagai reaksi netizen, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di belakang tapak niaga Nasi Lemak Anak Dara yang diusahakan oleh Siti Hajjar itu pagi semalam, seorang wanita kelihatan seperti membuang seekor kucing hitam ke dalam longkang sambil diperhatikan beberapa pelanggan Siti Hajjar yang sedang beratur untuk membeli nasi lemak.



Ekoran itu, ramai yang mengecam tindakan wanita itu yang disifatkan sebagai kejam dan tidak berhati perut. Bagaimanapun ada netizen yang mendakwa, wanita itu sebenarnya cuba menolong kucing tersebut.

"Kucing itu milik makcik berpakaian hitam itu. Dia bukan saja-saja lempar kucing itu, dia nak suruh kucing itu pergi ke sebelah sebab kucing itu nak datang ke tempat orang yang tengah bungkus nasi lemak itu.

"Apalah, suka hati saja nak tuduh sebarang. Bukan dia nak menganiaya kucing itu pun. Saya yang ada di situ tadi, tengah beratur nak beli nasi lemak pagi tadi," kata Nurul Hanani.

Meskipun penjelasan telah dilakukan, masih ada netizen yang enggan percaya dengan kata-kata Nurul Hanani.



Bagi mengelakkan situasi menjadi lebih teruk, gambar itu telah disunting semula oleh individu yang tidak diketahui di mana, kucing tersebut telah melemparkan wanita itu ke seberang longkang. Hasilnya, netizen ketawa beramai-ramai dan kembali meneruskan kehidupan seperti biasa.

Tiada ulasan:
Write ulasan