'Adik Perlukan Duit, Saya Cuma Ada RM10 Saja'

Oleh Atie Zam



Pagi itu saya pergi ke bank, ada dua urusan. Ketika sedang beratur, ada seorang lelaki di mesin Cash Deposit Machine (CDM) di sebelah saya kelihatan reash. Sudah beberapa kali saya mendengar suara dia mengeluh.

"Miss, ada RM10.00 tak? Tukar dengan saya," katanya kepada seorang wanita yang juga sedang beratur di belakangnya.

"Sorry sir, tak ada," jawab wanita itu.

Saya keluarkan RM10.00 daripada dompet dan menghulurkannya kepada lelaki itu.

"Cuba duit saya,"

Lelaki itu tersenyum lalu menyambut dan terus memasukkannya ke dalam mesin. Namun, tetap tidak berjaya juga. Dicuba lagi beberapa kali, tetap tidak boleh.

Wanita di belakangnya tadi sudah mula mencuka. Bermacam-macam bunyi keluhan didengari, membuatkan lelaki itu bertambah kalut. Mesin-mesin lain di situ, semuanya Out of Service.

Lelaki itu pun keluar dari barisan dan membuat panggilan. Suaranya agak kuat sehingga kami semua yang berada di situ mendengar dengan jelas setiap butir perbualannya.

"Hello adik, abang minta maaf. Abang tak dapat masukkan duit. Mesin rosak. Adik nak guna urgent ke? Pinjamlah duit kawan dulu, boleh? Itu saja duit yang abang ada. Hmm.. Okay, okay, abang usahakan. Nanti abang call balik," katanya.

Selesai urusan pertama, automatik saya menghampirinya dan mulut saya bertanya.

"Ada masalah ke, bang?"

Dia senyum lemah, "Adik nak guna duit. Saya ada RM10 saja. Tak boleh masuk pula. Kesian adik," dia termenung seketika.

Saya keluarkan sekeping duit dengan amaun lebih besar sikit dari tadi.

"Agaknya mesin itu tak boleh terima RM10.00. Nah, cubalah duit ini," pinta saya.

Dia kelihatan tergamam. Wanita di mesin tadi sudah selesai urusan. Mukanya sudah tidak mencuka dan turut menyertai kami.

"Sorry, I nak cepat sangat tadi. Sorry," katanya meminta maaf. Sambil menghulurkan sekeping duit lagi.

"Nah, cuba masukkan, sorry again ya. I got to go," wanita itu terus berlalu pergi.

Lelaki itu bertambah tergamam. Tak sempat berkata apa-apa. Di tangannya ada dua keping wang kertas. Tanpa berlengah lagi, dia terus memasukkan duit tadi. Saya pula terus menyambung urusan kedua.

Saya tersenyum lebar apabila mendengar lelaki itu bercakap di telefon ketika saya sedang melangkah keluar dari bank.

"Adik, abang dah masukkan duit RM100. Alhamdulillah," katanya.

Saya terus menuju ke arah kereta di mana suami saya sedang menunggu. Daro dalam kereta, saya melihat lelaki itu sedang tersenyum ke arah saya di dalam bank. Mungkin hatinya sedang berkata, "terima kasih.

Lalu hati saya menjawab, "Sama-sama".

0 comment... add one now