Isnin, 5 September 2016

Wanita Warga Thailand , tujuh anak dapat tempat tinggal

Kuala Lumpur: Wanita bersama tujuh anak dan dua cucunya yang diviralkan baru-baru ini kerana tinggal di kaki lima di Chow Kit, di sini, kini ditempatkan di sebuah pusat pembelajaran swasta berlandaskan Islam di Subang Jaya, dekat sini.



Roziah Yusuf, 42, yang juga warga Thailand dan keluarganya ditempatkan di sana sementara siasatan kes mereka selesai selepas sehari dimasukkan ke Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.

Wanita itu mendakwa mereka sekeluarga menjadi gelandangan dan meminta sedekah bagi meneruskan hidup kerana tidak mampu membayar sewa rumah di Cheras Baru yang didiaminya bersama suaminya, seorang warga Myanmar.

Menurut ibu kepada tujuh anak berusia antara setahun lima bulan dan 20 tahun serta dua cucu berusia tiga tahun dan sembilan bulan itu, suaminya meninggal dunia dalam kemalangan di Lorong Haji Taib 4, di sini, hujung tahun lalu.

“Kami tinggal di negara ini selama 18 tahun...selama ini arwah suami saya yang menyara kami dengan bekerja di sebuah bengkel mencuci kereta di Chow Kit tetapi kini kami hilang arah...dan beginilah kami hidup sekarang,” katanya kepada Bernama.

Roziah yang kerap menitiskan air mata ketika ditemu bual berkata, sebelum ini dia tidak membawa keluarganya ke Pusat Transit Gelandangan kerana mereka bukan warga Malaysia. – BERNAMA

Tiada ulasan:
Write ulasan