Rabu, 28 September 2016

Vida Perlu Hormati Kontrak - Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa berkata, hasrat untuk menamatkan penajaan pasukan bola sepak negeri itu lebih awal tidak sepatutnya dibangkitkan oleh Datuk Seri Dr Hasmiza Othman.



Annuar berkata, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida telah bersetuju menandatangani kontrak penajaan dua tahun bersama 'The Red Warriors' yang akan berakhir November 2017, justeru kontrak itu perlu dihormati.

"Ia tak berbangkit, beliau telah menandatangani kontrak dua tahun, tahun depan masih ada lagi tajaan.

"Ikut pemahaman saya kalau ikat kontrak, itulah maknanya. Macam kita kalau ada pemain tak berprestasi, kita nak buang pemain itu kena bayar, tak boleh lari begitu sahaja," katanya ketika ditemui di sini, Rabu.

Annuar berkata, sebagai sebuah pasukan yang bergantung dana daripada penaja, pasukan Kelantan sentiasa menghormati terma perjanjian bersama penaja utama dan juga penaja-penaja lain.

Justeru, buat masa ini beliau lebih suka melihat isu ini sebagai satu spekulasi.

"Pada saya pasukan masih sama 'The Red Warriors Qu Puteh', stadium masih kekal 'pink', kerana kontrak menyatakan begitu, itu semua ada dalam kontrak dan kontrak hanya akan berakhir pada November 2017.

"Tak eloklah kalau kita spekulasi yang tak baik, tak adil kepada beliau (Vida). Kita kena hormat penaja setiap masa, hormat kontrak," katanya.

Mengenai kenyataan Vida yang mengibaratkan hubungannya dengan pasukan Kelantan sebagai pasangan suami isteri bermasalah dan berpandangan 'cerai' adalah penyelesaiannya, Annuar berkata, setakat ini Kelantan tidak mempunyai masalah tersebut.

Malah, beliau berkata, perkataan cerai itu tidak harus diucapkan dalam situasi baik seperti sekarang.

"Biar sampai situ dulu. Kenapa nak cakap soal cerai waktu kita tak bergaduh? Suami isteri tak elok cakap soal cerai dalam keadaan berharmoni.

"Tapi kalau betul ada masalah, duduklah berunding, semua benda boleh runding," katanya.

Pada Selasa, mStar Online melaporkan bahawa Vida, pengasas produk kecantikan Qu Puteh merancang untuk menghentikan tajaan The Red Warriors lebih awal berbanding tempoh sebenar, dua musim.

Rancangan itu disuarakannya apabila beliau kecewa dengan prestasi Kelantan yang dirasakan tidak berbaloi dengan pelaburan besarnya.

Beliau turut kecewa dengan penyokong Kelantan yang didakwa enggan melaburkan sedikit wang menerusi pembelian jersi dan produk keluaran syarikatnya.

"Saya orang bisnes, sudah tentu saya amat terkesan kerana prestasi hambar pasukan sedikit sebanyak menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap produk saya," kata Vida

Tiada ulasan:
Write ulasan