Ahad, 4 September 2016

Tiada Bukti Penyelewengan Dalam Pendrive - Tunku Ismail

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata isi kandungan dalam pemacu pena atau pendrive yang diterimanya sebelum ini bukanlah bukti penyelewengan yang berlaku dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sebaliknya, Tunku Ismail menjelaskan ia adalah mengenai salah laku dari segi teknikal seperti sikap pilih kasih, jurulatih tidak professional dan exco tidak memainkan peranan dalam tugasan dengan betul.



Susulan itu, beliau berkata tindakannya menyerahkan pemacu pena itu kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin adalah bertujuan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda dan bukannya menghukum FAM.

"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, isi kandung dalam 'pendrive' yang saya terima adalah mengenai salah laku dari segi teknikal seperti sikap pilih kasih, jurulatih tidak professional dan exco tidak memainkan peranan dalam tugasan dengan betul.

"Saya berikan kepada Khairy Jamaluddin untuk menyelesaikannya bukan untuk menghukum FAM dan menggantung FAM. Sekiranya kita menggantung FAM, ia akan menjejaskan liga.

"Saya hanya menasihatkan kepada individu-individu tersebut untuk berundur dengan cara baik tahun depan dan digantikan dengan individu yang lebih layak menjalankan tugas-tugas tersebut," katanya menerusi satu kenyataan dalam laman Facebook Johor Southern Tigers (JDT) pada Sabtu.

Pada masa sama, Tunku Ismail mendakwa beliau mengetahui Presiden FAM, Setiausaha Agung dan siapa ketua jurulatih pasukan kebangsaan untuk tahun depan.

"Saya mengetahui siapa Presiden FAM, Setiausaha Agung dan siapa ketua jurulatih pasukan kebangsaan untuk tahun depan. Tetapi perlukah saya berkongsi maklumat ini dengan penyokong bolasepak tanahair?

"Pernahkah saya dihargai sebelum ini dalam cuba menyelamatkan bolasepak negara? Hanya rakyat Johor sahaja yang menghargainya," katanya.

Mengenai isu Dominic Tan, Tunku Ismail berkata JDT amat memerlukan beliau ketika pasukan mempunyai lapan baki perlawanan penting yang perlu diharungi termasuklah Liga Super dan Piala AFC pada musim ini.

"Pada pendapat saya, tiada guna Dominic Tan berada di sana kerana adalah lebih baik seandainya beliau berada di sini dan menjalani latihan di sini kerana beliau sememangnya diperlukan," katanya.

Tegas Tunku Ismail beliau tiada masalah sekiranya skuad kebangsaan memerlukan pemain JDT untuk berlatih bersama rakan pasukan selama empat hari sebelum perlawanan.

Namun, katanya, jika Dominic diperlukan selama tiga hingga empat minggu sebelum perlawanan, beliau tidak bersetuju mengenainya.

"Jika pasukan lain benarkan, itu masalah mereka," katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan