Sabtu, 17 September 2016

Selepas Diugut Bunuh, Rumah Remy Ishak Diserbu

Tidak cukup menerima ugutan bunuh oleh seorang wanita berstatus kenamaan, kini kediaman Remy Ishak pula menjadi sasaran apabila pihak polis menyerbu rumah beliau di Serdang kira-kira jam 1 pagi semalam, setelah menerima aduan terdapat kegiatan dadah. Malah Remy percaya dirinya telah dianiaya oleh individu yang sama membuat ugutan bunuh sebelum ini.




“Saya syak aduan ini diterima daripada individu sama yang membuat ugutan bunuh terhadap saya. Saya tinggal di situ sudah agak lama. Tidak pernah ada masalah pun. Jadi bagaimana tiba-tiba terima aduan kegiatan dadah di situ. Pihak polis juga sedia maklum bahawa keselamatan saya dan keluarga sekarang berada di dalam keadaan yang cukup membimbangkan”

“Saya tidak mahu mengulas panjang dan berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan segera. Sebelum ini kereta saya hilang, rumah saya juga pernah dipecah masuk. Malah, saya juga menerima ugutan bunuh. Keselamatan saya kini di tahap yang membimbangkan,” katanya kepada Utusan Online sambil merahsiakan lokasi beliau berada kini atas isu keselamatan.

Sementara itu, Remy turut meluahkan rasa terkilan apabila polis menyerbu rumahnya tanpa memperkenalkan diri sehingga memaksa beliau bercakap dengan polis menerusi telefon untuk kepastian. Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohammad Aminuddin Megat Alias memberitahu, tiada sebarang unsur jenayah ditemui ketika serbuan.

Sebelum ini beberapa laporan polis telah dibuat oleh Remy selepas mendakwa menerima ugutan bunuh daripada seorang lelaki yang juga merupakan orang suruhan seorang wanita berstatus VIP. Ugutan itu dipercayai berlaku kerana keengganan pelakon itu untuk bertemu dengan wanita yang dikatakan berasal dari sebuah negeri pantai timur walaupun ajakan itu ditolak dengan baik

Tiada ulasan:
Write ulasan