Selasa, 27 September 2016

Rogol Anak Tiri 6 Tahun, Mahkahmah up Hukuman 20 Tahun Penjara Kepada 25 Tahun.

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja restoran terpaksa  meringkuk lebih lama dalam penjara selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menaikkan hukuman penjara daripada 20 tahun kepada 25 tahun kerana merogol anak  tirinya yang berusia enam tahun, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah juga menambah jumlah sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen terhadap Kairuddin Md Rosly, 33, daripada 15 sebatan kepada 20 sebatan.



Mahkamah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan tertuduh bagi  mengurangkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 30 Oktober 2015, dan memerintahkan Kairuddin menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 14 November 2014.

Kairuddin dituduh melakukan perbuatan itu pada 7 November 2014, antara 5 petang  hingga 9 malam, mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Mohamad Shariff dalam penghakiman berkata mahkamah bersetuju dengan  keputusan hakim Mahkamah Sesyen bahawa saksi kanak-kanak (mangsa) bercakap benar dan disokong oleh keterangan saksi-saksi pendakwaan lain.

"Keputusan hakim Mahkamah Sesyen itu adalah keputusan yang betul, benar dan  tepat, oleh itu mahkamah ini tidak ada alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Sesyen.

"Ingatlah bahawa anak itu satu anugerah dan amanah untuk kita jaga, jangan  buat yang tidak betul, berilah didikan sempurna. Duduklah dalam penjara tu dan renungkanlah," katanya sambil menasihatkan Kairuddin agar bertaubat.

Tertuduh diwakili peguam PG Cyril, manakala pendakwaan dikendalikan  Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz.

Tiada ulasan:
Write ulasan