'RM50, Ini Duit Last Aku Bagi Mak..'

"Selamat hari jadi Rina,"


20 April 2016, hari ini harijadi saya. Saya tak nak berpura-pura tak sedar dan harap orang buat kejutan untuk menyambut harijadi saya. Saya orangnya simple, kadang-kadang tudung berkedut tak sempat nak gosok. Kasut pun dah pudar warna, belum tukar lagi dari tahun lepas.

Tak, saya memang sengaja tak nak tukar sebab saya selesa. Biasanya saya pakai sampai betul-betul tka boleh pakai dah. Dulu tak macam ini, dulu nak bergaya sakan.

Saya nak kongsi satu cerita. Lama dulu, saya ada seorang kawan yang suka bagi nasihat. Kadang-kadang saya bosan mendengarnya. Tetapi, ada satu cerita dia yang membuatkan saya berfikir panjang.

Dia kata, setiap kali dia berjumpa ibunya, dia akan hulur RM50 atau berapa saja yang dia ada pada waktu itu.

"Kalau seminggu jumpa ibu tiga kali, tiga kali jugalah kamu bagi dia duit?" soal saya.

Dia mengangguk mengiakan persoalan saya.

"Awak bolehlah sebab duit banyak. Saya betul-betul ikat perut kalau buat begitu. RM50 itu boleh tahan belanja dua minggu," kata saya padanya dengan nada yang agak defensive. Masa itu saya jahil.

Satu hari itu, saya terdesak sangat-sangat nak selesaikan hutang. Duit tinggal yang ada dalam poket sahaja. Memang dah habis. Saya teringat cerita kawan saya yang gemar memberikan nasihat itu. Dia cakap, itulah keramat dia, asbab bagi ibu duit dan juga niat sedekah, ibu dia gembira. Itu rahsia dia berjaya.

Saya pun antara yakin dengan tak, saya beri ibu saya duit dan itulah duit terakhir dalam tangan. Saya benar-benar tawakal sahaja pada waktu itu. Ada juga suara jahat berkata, "Kenapa bagi? Kan dah tak ada duit langsung,".

Haih, memang besar dugaan nak buat benda baik. Dan Allah maha berkuasa, selepas itu saya mendapat order dari orang yang mahu membeli tudung bawal secara borong untuk dijual di Kedah. Jumlahnya dalam RM3,000. Dia bayar siap-siap, full payment.

Masa itu, kelam kabut juga saya nak mencari stok. Dekat 20 kodi dia order. Sudahlah tak pernah pos besar-besaran macam tu. Kalut saya nak packing.

Saya menangis dalam hati pada masa itu. Sejak dari itu, saya percaya dan sangat yakin. Apa yang kita bagi sebenarnya lebih penting dari apa yang kita ada. Lagi-lagi bagi pada ibu dan ayah.

Saya tulis ini sebab adakalanya saya terlupa. Manalah tahu esok-esok saya lupa, biar ada orang ketuk sikit. Sebab itu kalau ada sesiapa yang hidup dia kesempitan, saya sarankan balik dan jumpa ibu ayah. Berilah mereka berapa yang ada. Kalau betul-betul tiada duit, berilah masa kita sikit, luangkan masa bersama mereka. Moga-moga dapat juga menggembirakan hati mereka. Moga Allah juga pandang usaha kita dan lapangkan hidup kita dari kesempitan.

Hadi, hari istimewa ini saya tak mengharap banyak. Saya cuma mengharapkan kawan-kawan doakan kebahagiaan ibu dan ayah saya. Merekalah orang yang paling banyak berkorban untuk saya. Siapa dan di mana saya hari ini adalah atas usaha dan doa ibu dan ayah dengan izin Allah. - Rina Salleh

0 comment... add one now