Selasa, 6 September 2016

RM28,000 diperlukan bina rumah ibu tunggal

ARAU - Pertubuhan Kebajikan Harapan Negeri Perlis (Perlis Hope) memerlukan dana sebanyak RM28,000 untuk membina sebuah rumah kepada seorang ibu tunggal di Kampung Tambung Tulang.

Ibu tunggal berkenaan, Saripah Osman, 40, kini tinggal di sebuah rumah yang begitu daif dan tidak selamat untuk dirinya serta tiga anaknya.

RM28,000 diperlukan bina rumah ibu tunggal

Seorang anak Saripah yang berusia sembilan tahun merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU).

Setiausaha Perlis Hope, Asrul Nizam Abd Jalil berkata, pihaknya berusaha menjadi orang tengah bagi mengutip dana khas dari orang ramai bagi membolehkan mereka membina kediaman baharu buat keluarga ini.

Menurut Asrul, setakat ini Perlis Hope berjaya mengumpulkan RM6,800 daripada penderma.

“Majoriti sahabat-sahabat Perlis Hope merasakan kewajaran untuk Perlis Hope melancarkan tabung khas bagi tujuan membina rumah yang lebih sesuai untuk Saripah.

"Pembinaannya akan dilakukan secara gotong-royong di kalangan sukarelawan Perlis Hope serta beberapa pertubuhan NGO yang lain.

“Dengan ini, Perlis Hope ingin membuka tabung khas 'Sumbangan Membina Rumah Saripah' untuk mencari baki lagi sebanyak RM21,200,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin menyumbangkan wang boleh terus ke akaun Maybank 559012318777 atas nama Pertubuhan Kebajikan Harapan Perlis (Perlis Hope) dan diminta untuk masukkan rujukan penerima <Derma Saripah> dan mohon WhatsApp resit bayaran ke 013-4899717 untuk rekod pihak Perlis Hope.

Tambah Asrul, pihak Perlis Hope akan memaklumkan dari masa ke semasa jumlah baki terkini yang diperlukan.

“Kutipan sumbangan akan ditutup apabila ia berjaya mencapai angka RM28,000 yang diperlukan. Semoga kerja buat kita yang sedikit ini dapat memberi sinar harapan buat keluarga malang ini serta mendapat ganjaran yang baik di sisi ALLAH,” katanya

Tiada ulasan:
Write ulasan