Rabu, 21 September 2016

Remaja 13 Tahun Di Tangkap Cuba Curi Duit Tabung Masjid

KUALA TERENGGANU - Dua remaja berusia 13 tahun bukan sahaja tidak sempat merasa ‘hasil’ daripada cubaan mencuri wang di dalam tabung masjid, malah turut dicekup dan seterusnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Dicekup ketika kait duit

Kedua-duanya yang cuba mencuri wang sebanyak RM10 di dalam tabung, mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan kerana cuba mencuri dalam bangunan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama cuba mencuri sekeping wang tunai RM10 di dalam tabung di Masjid Sultan Mohamad Bukit Besar, di sini, jam 10.30 pagi, pada 16 September lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman penjara tidak lebih daripada setengah daripada tempoh yang ditetapkan bagi kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Abdul Hayyi menetapkan 24 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mahkamah turut membenarkan kedua-duanya diikat jamin sebanyak RM300 setiap seorang.

Sebelum ini, kehadiran dua rakan itu disedari seorang pengawal keselamatan berusia 41 tahun yang sedang bertugas.

Pengawal keselamatan melihat kedua-duanya masuk ke dalam masjid, sebelum salah seorang daripadanya sedang mengait wang tunai yang ada dalam tabung manakala seorang lagi bertindak mengawasi keadaan dari luar.

Pengawal keselamatan terbabit kemudiannya menghampiri salah seorang daripada mereka yang sedang mengait duit, manakala seorang lagi berjaya melarikan diri sebelum ditahan di sebuah rumah kira-kira jam 12.10 tengah malam pada keesokan harinya.

Tiada ulasan:
Write ulasan