Sabtu, 17 September 2016

Ramai Saudara Mara Di Kebumikan Di Sendiri - Rayu Jangan Pindah Kubur

KLANG - Orang ramai termasuk waris mahu kerajaan menilai semula pengambilan Tanah Perkuburan Islam Simpang Lima untuk projek pembangunan landasan perkhidmatan transit aliran ringan ketiganya (LRT3) di kawasan berkenaan.

Rayu jangan pindah kubur

Kira-kira 200 kubur di situ perlu dialihkan untuk memberi laluan kepada projek pembangunan berkenaan.

Tinjauan  Sinar Harian di tanah perkuburan itu kelmarin, mendapati Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat persempadanan kubur yang terlibat dengan meletakkan notis meminta waris menghubungi ketua Unit Tanah Perkuburan Islam.

Waris, Samsuddin Kamaldin, 70, berkata, lebih elok jika kerajaan mencari alternatif lain untuk pembinaan LRT3 yang tidak melibatkan pengambilan tanah berkenaan.

“Kubur ini dikatakan berusia hampir 100 tahun, tidak perlu ganggu kawasan ini. Lagipun, ramai saudara mara dan ahli keluarga saya dikebumikan di sini.

"Saya amat terkilan jika hasrat kerajaan itu menjadi kenyataan,” kata bekas penjawat awam itu kepada Sinar Harian ketika menziarahi kubur Allahyarham bapa dan saudara maranya.

Jangan jejaskan hak rakyat

Penduduk, Hassan mohamed, 62, berkata, pihaknya membantah cadangan pengambilalihan tanah perkuburan berkenaan.

“Kami sebagai rakyat tidak menolak sebarang pembangunan, tapi janganlah sampai menjejaskan hak dan kesejahteraan rakyat, tambahan lagi ia melibatkan sensitiviti agama.

“Pemimpin di peringkat persekutuan mahupun kerajaan negeri, jangan fikirkan keuntungan semata-mata hingga tanah kubur diganggu gugat, fikirlah kemaslahatan seluruh rakyat termasuk waris di sini,” katanya.

Menurutnya, banyak lagi cara lain yang boleh diguna pakai dan tidak melibatkan pengalihan sejumlah kubur di tanah berkenaan.

“Saya yakin proses pengambilalihan dan pemindahan kubur itu rumit termasuk kos kewangannya yang besar.

"Lebih baik kerajaan fikirkan cara lebih bagus dan tidak memerlukan proses yang rumit,” katanya.

Pekerja kontrak mesin rumput di tanah perkuburan berkenaan, Mohd Tahir Mohd Taib, 70, berkata, Jais menampal notis berkenaan sejak beberapa hari lalu.

“Saya agak dalam 200 kubur terlibat termasuk sejumlah kubur yang sudah tenggelam di bahagian bawah bukit.

“Itu kubur lama, batu nisannya juga sudah mendap dan kawasan itu pernah ditenggelami banjir sebab kedudukannya rendah,” katanya.

Katanya, proses pemindahan itu akan mengambil masa panjang dan sangat rumit memandangkan banyak kubur tenggelam.

“Apa pun kita tunggu keputusan kerajaan, sama ada proses mengambil tanah dan memindahkan kubur akan berlaku atau tidak,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan