Pengantin baharu didenda bawah pengaruh alkohol

KUALA LUMPUR - Gara-gara memandu di bawah pengaruh alkohol seorang pengantin baharu didenda RM1,800 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Trafik di sini, hari ini.  

Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Sharizal Mohd Zaini, 27, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di Jalan Syed Putra, di sini, pada 3 pagi tadi.

Image result for arak mabuk

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Trafik Inspektor Hashimah Hashim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan tertuduh beragama Islam dan supaya kesalahan itu tidak berulang.

Muhammad Sharizal, yang tidak diwakili peguam merayu supaya diberikan peluang kerana telah insaf atas perbuatannya.

“Esok adalah majlis persandingan saya bersama isteri dan kami baru sahaja dinikahkan. Saya berjanji perkara sebegini tidak akan berulang,” kata jurutera itu.

Berdasarkan fakta kes, ketika sekatan jalan raya di Jalan Syed Putra, di sini, polis menahan sebuah kereta Myvi dalam keadaan mencurigakan dan hasil semakan, pemandu kenderaan berkenaan didapati berada di bawah pengaruh alkohol.

Ujian penafasan yang dijalankan terhadap tertuduh mendapati kandungan alkohol dalam 100 ml darah adalah sebanyak 108 miligram iaitu melebihi 80 miligram yang dihadkan.  

Di mahkamah sama, seorang pegawai farmasi sebuah hospital kerajaan didenda RM1,500 atau penjara dua bulan kerana gagal memberikan dua spesimen nafas untuk digunakan dalam ujian nafas, tanpa alasan yang munasabah.

Zuhair menjatuhkan hukuman itu ke atas Gan Pou Wee, 31, selepas lelaki itu mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di Jalan Tun Razak, di sini, pada 2.45 pagi tadi.  

Hashimah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda dikurangkan.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda maksimum RM6,000 dan boleh dipenjarakan sehingga 12 bulan serta lesen percubaan dibatalkan. - Bernama

0 comment... add one now