Peguam Ditipu RM604,000 Untuk Gelaran 'Datuk'

PETALING JAYA: Seorang peguam terpedaya dengan menyumbang sejumlah RM604,000 kepada sebuah yayasan bagi mendapatkan gelaran 'Datuk'. 

Bagaimanapun, yayasan itu yang kononnya dinaungi Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah, hanya dijadikan sebagai umpan untuk menipu seorang lelaki berusia 62 tahun.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, peguam tersebut didatangi seorang wanita berusia 36 tahun dari Sibu yang mendakwa sebagai pegawai berpangkat tinggi di istana.
Difahamkan beberapa pertemuan diadakan antara kedua-dua pihak antara 18 November 2015 dan 18 Jun tahun ini sebelum wang tersebut dipindahkan ke dua akaun bank milik wanita berkenaan.
"Adalah satu kemestian buat mangsa untuk memberikan sumbangan bagi mendapatkannya gelaran tersebut.
"Mangsa diberitahu gelaran itu sudah dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong  pada 4 Jun, tetapi dia akhirnya sedar ditipu selepas diberitahu oleh seorang pegawai istana pada 31 Ogos lalu," katanya.
Acryl Sani berkata, siasatan awal mendapati permohonan untuk mendapatkan gelaran 'Datuk' dibuat menerusi platform yang betul.
Lapan suspek, termasuk tiga wanita berusia antara 30 dan 40 tahun ditahan di beberapa lokasi berasingan di Kelantan, Kuala Lumpur, Kajang, Ampang, Sungai Buloh dan Perak, bagi siasatan kes tersebut.
"Kesemua mereka direman sehingga 26 September.
"Kita turut merampas beberapa telefon bimbit, kad bank, beg, barang kemas, resit pembelian emas, fail dan sebuah kereta mewah," katanya.

0 comment... add one now