Rabu, 14 September 2016

Nama Kembali Menyinar, Mawi Tak Kejar Populariti

PETALING JAYA: Penyanyi Mawi tidak pernah menjangkakan lagu duetnya bersama Syamsul Yusof berjudul Kalah Dalam Menang yang turut digunakan sebagai lagu runut bunyi filem Munafik kembali memberi sinar kepada karier nyanyiannya.

Image result for mawi

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 35, berkata, dia tidak pernah bermimpi untuk menjadi terkenal sebaliknya mendedahkan tujuannya menyertai Akademi Fantasia pada 2005 semata-mata untuk bergelar penyampai radio.

"Jika ada menganggap duet bersama Syamsul menyerlahkan kembali karier nyanyian saya Alhamdulillah kerana ia diluar jangkaan saya apabila peminat menerima baik lagu berkenaan.

"Jujur saya tidak pernah memberi fokus kepada populariti kerana saya menyertai AF dahulu pun kerana ingin menjadi penyampai radio seperti Nana Mahzan dan Burn," katanya kepada mStar Online.

Untuk rekod, Mawi menjuarai AF musim ketiga dan melakar pelbagai kejayaan sehingga digelar Raja SMS kerana sering mengungguli anugerah melalui undian melalui format itu.

Tambah Mawi apa yang dilakukan kini adalah bukan untuk mengejar populariti sebaliknya kerana suka berkarya.

Dalam pada itu, Mawi berkata, dia bakal muncul dalam sebuah showcase istimewa iaitu Sedekad Mawi Bersama Sahabat yang bakal berlangsung di Hotel Equatorial Melaka pada 28 Oktober depan.

Kata Mawi, dia akan menjemput semua penyanyi yang pernah berduet dengannya seperti Datuk M. Nasir, Yasin Sulaiman, Rabbani, Dali Filsuf, Zamani Slam, Syamsul Yusof, Hazama dan beberapa artis lain untuk berduet dengannya.

"Persembahan itu sebenarnya adalah sebuah showcase amal kerjasama saya bersama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasum) bagi mengutip dana untuk membantu mereka yang menghidap autisme.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini dengan menjemput semua penyanyi yang pernah berduet dengan saya untuk menjayakan persembahan itu nanti," katanya.

Sementara itu, Mawi berkata, dia juga bakal tampil dengan lagu duet terbaharu bersama Syamsul berjudul Bukan Propaganda yang akan dijadikan lagu runut bunyi filem Disolusi arahan Syafiq Yusof.

Tiada ulasan:
Write ulasan