Nak Mandikan Jenazah Pun Tak Ada Air - Rintihan Penduduk Pekan Kuang

KUANG - Penduduk mendesak kerajaan negeri dan pihak Syabas mengeluarkan peruntukan bagi penggantian paip lama yang menjadi punca kekerapan berlakunya gangguan air bagi kawasan Kampung Gombak, Pekan Kuang dan sekitarnya.

‘Nak mandi jenazah pun tak ada air’

Kekerapan gangguan air menyebabkan kira-kira 3,000 penduduk terjejas disebabkan paip pecah.

Kejadian terbaharu berlaku semalam iaitu kira-kira jam 10 pagi apabila masalah sama berulang di Rumah Murah Kuang.

Penduduk, K Kartiani, 56, berkata, masalah ketiadaan air menyukarkan penduduk untuk menjalani rutin harian dan perancangan aktiviti lain.

“Contohnya baru-baru ini air tak ada masa kami nak buat kenduri jadi memang buntu cari ikhtiar dan bergantung dengan air tangki sementara baik pulih paip Syabas selesai.

“Di depan rumah saya dua kali paip pecah. Pada 27 Ogos sudah pecah dan berulang empat hari kemudian," katanya.

Hamdan Mohd Nahu, 66, berkata, pernah sekali berlaku gangguan air ketika menguruskan jenazah orang kampung meninggal dunia.

“Kami telefon mohon bantuan air tapi lambat, jadi kami pam air guna air perigi di rumah jiran berhampiran. Lori tangki datang lepas selesai upacara pengebumian.

“Boleh dikatakan hampir setiap minggu kami hadapi masalah gangguan air. Kalau pagi dah terputus bekalan biasanya ambil masa beberapa jam dan pernah sampai ke malam,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kg Gombak Kuang, Rozaidi Mohd Yusof berkata, penduduk membuat aduan masalah gangguan air berkenaan selepas kerap berlaku sejak Ogos lalu sehingga kini.

“Selang satu atau dua hari akan berlakunya gangguan air ini. Pihak Syabas ada hantar notis gangguan tapi hantar masa hari kejadian, jadi penduduk nak buat persiapan pun susah.

“Paip pecah ini sebab usianya dah lama jadi kita harap pihak berkaitan dapat segerakan proses penggantian bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk,” katanya.

Penyelaras Dun Kuang, Salasiah Disa berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada pihak kerajaan negeri dalam usaha permohonan mempercepat penggantian paip.

“Perkara ini telah dipanjangkan dan dibincangkan dalam mesyuarat tindakan daerah yang maklum dengan masalah dihadapi penduduk namun berharap ada tindakan segera dapat diambil bagi menyelesaikan aduan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, gangguan bekalan air di Rumah Murah Pekan Kuang semalam telah siap dibaiki jam 3 petang dan bekalan akan kembali pulih secara berperingkat.

“Pihak Syabas membaiki paip pecah dan membuat pemantauan tekanan air untuk mencegah kebocoran.

“Penggantian paip masih dalam perancangan namun menjadi keutamaan adalah memantau tekanan air di kawasan tersebut,” katanya.

0 comment... add one now