Rabu, 28 September 2016

Nahas Go-Kart: Kementerian Saya Tak Terlibat - KJ

SHAH ALAM: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa kementeriannya tidak terlibat dalam isu tragedi go-kart yang mengorbankan nyawa dua beranak di Kuantan, Ahad lalu.

Image result for khairy jamaluddin

Bagaimanapun beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia memberi kerjasama dalam siasatan berhubung insiden berkenaan.

"Kementerian saya dikaitkan kerana program itu membabitkan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) yang didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Sukan.

"Apa yang kita boleh lakukan, kita terlibat dalam siasatan. Jadi, kita mempunyai wakil dalam jawatankuasa siasatan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)," katanya pada sidang media selepas melancarkan model Proton Saga generasi ketiga di Pusat Konvensyen Setia City di sini, Rabu.

Khairy berkata, sebaik siasatan dijalankan polis dan KPT, pejabat Pesuruhjaya Sukan akan membuat keputusan untuk tindakan selanjutnya terhadap MAM dan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) sekiranya terdapat keperluan.

"Sekarang ini kita hanya menunggu hasil siasatan," ujar Khairy.

Terdahulu dilaporkan, Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendesak KBS untuk memberi penjelasan tragedi go-kart.

Desakan ini timbul setelah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku penganjur mempertahankan tindakannya menganjurkan program itu kerana memperolehi sijil kelulusan keselamatan daripada MAM.

MAM pula menuduh UTM tidak mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan.

Keadaan bertambah rumit apabila AAM sebagai badan induk sukan bermotor mendakwa MAM tidak ada kuasa memberikan kelulusan dari aspek keselamatan perlumbaan permotoran di negara ini.

Berikutan kejadian itu, pihak polis menjalankan siasatan berhubung punca nahas termasuk KPT menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan pada Isnin lalu.

Tiada ulasan:
Write ulasan