MH17 Ditembak Guna Peluru Berpandu Dari Rusia

KUALA LUMPUR: Kumpulan penyiasat antarabangsa diketuai Belanda pada Rabu merumuskan bahawa pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh menggunakan pelancar peluru berpandu Buk yang dibawa dari Rusia ke Ukraine.



Ketua Jabatan Penyiasatan Jenayah Pusat Belanda, Wilbert Paulissen berkata sistem pertahanan peluru berpandu Buk itu kemudian diangkut balik ke Rusia selepas MH17 ditembak jatuh, mengorbankan kesemua orang yang berada dalam pesawat.

"Berdasarkan siasatan jenayah, kami membuat kesimpulan bahawa Penerbangan MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK 9M38-Series, dari wilayah Persekutuan Rusia," kata beliau pada sidang media di Nieuwegein, Belanda.

Pesawat MH17 ditembak semasa berada pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan Ukraine yang bergolak dekat sempadan Rusia.

Pesawat Boeing B777 itu, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan membawa 298 penumpang termasuk anak kapal, apabila ditembak jatuh di ruang udara di timur Ukraine pada 17 Julai, 2014.

Terdapat 193 penumpang warga Belanda dan 44 warga Malaysia dalam pesawat malang itu. Identiti kesemua mangsa warga Malaysia telah dikenal pasti.

Tahun lepas, pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda Tjibbe Joustra mengesahkan bahawa MH17 ditembak jatuh dengan pelancar peluru berpandu Buk darat ke udara di ruang udara timur Ukraine.

Pada Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau menjangka laporan hasil siasatan pasukan penyiasat antarabangsa diumumkan sebelum akhir tahun.

Najib berkata Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) terdiri daripada lima negara - Australia, Belgium, Belanda, Malaysia dan Ukraine akan mengadakan mesyuarat untuk memutuskan pelan tindakan untuk membawa pelaku jenayah itu ke muka pengadilan selepas laporan itu disiarkan.

0 comment... add one now