Rabu, 21 September 2016

Mengaku Curi Duit Bapa Sendiri Dari Mesin ATM

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga mengaku songlap duit di dalam akaun bank milik bapa kandungnya dengan membuat pengeluaran melalui mesin ATM berjumlah RM6,000, tanpa pengetahuan mangsa.

Mohd Yusof  Nordin, 37, dari Kampung Kepah Kuala Berang, Hulu Terengganu, membuat pengakuan bersalah atas enam pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Jenayah Komputer 1997 ketika dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini, semalam.

Mengaku songlap duit bapa

Bagaimanapun, nasib anak sulung daripada tiga beradik ini ditentukan pada 18 Februari depan di mahkamah majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Bagi pertuduhan pertama, dia mengaku salah telah mengeluarkan wang RM1,000 di dalam akaun Maybank Berhad milik bapanya, Nordin Mohd Nor, 57, tanpa pengetahuan mangsa di mesin ATM Maybank Berhad Jalan Kuala Berang, 11 Jun tahun lalu, jam 8.02 malam.

Dia mengaku mengulangi perbuatan sama pada 22 Jun tahun lalu, jam 8.51 malam di mesin ATM Agro Bank Berhad Jalan Kuala Berang, Hulu Terengganu dengan mengeluarkan wang sejumlah RM1,000 milik mangsa.

Selain itu, di lokasi sama juga, pada 11 Julai tahun lalu, jam 9.02 malam, Mohd Yusof mengaku sekali lagi mengeluarkan wang RM1,000 milik bapanya yang hanya bekerja sebagai pemandu itu.

Tidak serik dengan perbuatan itu, Mohd Yusof  buat kali keempat mengulangi jenayah berkenaan dengan mengeluarkan wang juga sejumlah RM1,000 di mesin Agro Bank pada 8 Ogos tahun lalu, jam 8.03 malam.

Dua hari kemudian, pada 10 Ogos tahun lalu, jam 7.50 malam dan 29 Ogos tahun lalu, jam 2.49 petang, dia sekali lagi melakukan perbuatan itu dengan mengeluarkan wang RM1,000 di dalam akaun Maybank Berhad milik mangsa.

Dengan itu, Mohd Yusof mengaku salah melakukan enam kesalahan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (3) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, dia berdepan hukuman denda tidak lebih RM150,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Sejurus pengakuan salahnya direkodkan, Abdul Hayyi menetapkan 18 Februari sebagai tarikh sebutan semula untuk jatuh hukum di mahkamah majistret Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Abdul Hayyi turut membenarkan dia dibebaskan dengan jaminan RM11,000 dengan seorang penjamin.

Tiada ulasan:
Write ulasan