Jumaat, 16 September 2016

Mayat banduan dibedah kali kedua

KOTA BHARU – Mayat seorang tahanan Penjara Pengkalan Chepa, di sini, dibedah siasat kali kedua oleh Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, hari ini.

Proses bedah siasat kedua itu dibuat susulan keluarga mangsa yang tidak berpuas hati dengan keputusan ujian pertama bedah siasat yang dijalankan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Ab Rahman Ismail berkata, ujian pertama yang dilaksanakan oleh pakar forensik mendapati punca kematian Azri Mohamed, 27, disebabkan kerosakan usus dan jangkitan kuman.

“Pihak kami bagaimanapun akur dengan permintaan keluarganya dan menunggu hasil siasatan forensik kali kedua bagi mengenal pasti punca sebenar kematian tahanan tersebut.
Mayat banduan dibedah kali kedua

“Pada awal kejadian, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan seterunya kita perlu tunggu hasil bedah siasat terbaru,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Penjara Kelantan, Hamzani Che Berahim berkata, kematian mangsa tidak membabitkan unsur jenayah.

Katanya, pihak penjara sudah membuat laporan polis serta memaklumkan pada ahli keluarga berhubung kematian mangsa disebabkan jangkitan kuman pada usus.

“Kes masih dalam siasatan polis bagi mengetahui punca kecederaan yang dialami hingga membawa kepada kematian. Berhubung dengan pembabitan tahanan atau warden (memukul mangsa), semua itu sedang disiasat.

“Daripada pihak jabatan penjara, kami sedia bekerjasama dengan inkuiri siasatan jika proses bedah siasat kedua dibuat dan kami tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan terhadap tahanan,” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, Azri dikejarkan ke Wad Kecemasan HRPZ II kerana mengadu sakit pada bahagian dada dan perut kemudian menjalani pembedahan membuang usus serta-merta kerana usus cedera dakwa keluarga berkemungkinan berpunca daripada perbuatan pukul.

Azri kemudian meninggal dunia pada jam 7.45 pagi, semalam di Unit Rawatan Rapi, HRPZ II selepas sebulan koma.

Lelaki masih bujang itu ditahan bersama abang dan sepupunya pada Aidilfitri kelima, Julai lalu atas kesalahan memiliki dadah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes itu masih dibicarakan di mahkamah.

Tiada ulasan:
Write ulasan