Malu Di Label Mandul, Kami Guna Kaedah O&G Untuk Hamil

Tidak ramai yang tahu saya mengandung (Anggun) selepas kami cuba untuk hamil (TTC) secara konsisten selama lebih kurang 6 bulan.
Masa itu tempoh perkahwinan baru setahun lebih. Sebab rimas diasak soalan bila nak beranak, aku buat keputusan untuk jumpa Pakar Obstetri & Ginekologi (O&G).
Lagipun aku fikir, takkan umur dah 50 tahun baru nak hantar anak masuk darjah satu.
Secara purata, wanita akan mengandung dalam masa 6 bulan selepas berkahwin (kecuali merancang).
Jadi, tidak perlu malu kalau nak jumpa O&G selepas 6 bulan berkahwin. Lebih-lebih lagi kalau si isteri tahu yang dia mungkin bermasalah.
Macam haid tidak teratur, sakit kuat setiap bulan dan sebagainya. Tak perlu tunggu sampai 5-6 tahun dengan berpegang kepada “belum ada rezeki” sedangkan anda tidak pernah menjalani pemeriksaan.
Suami selalunya agak ego bila isteri ajak buat pemeriksaan. Risau kalau-kalau dia yang bermasalah. Malu dilabel mandul.
But, you know what, I’ve been through all the process.
Daripada semua proses, suami hanya buat satu ujian sahaja. SATU. Pemeriksaan kuantiti sperma.

Doktor tak perlu sentuh pun. Keluarkan air mani, hantar ke makmal dan BOOM! Keputusan keluar.
Jadi, kalau kuantiti sperma okay, itu sahaja. Kalau kuantiti spermakurang, mereka akan buat proses seterusnya. Proses seterusnya aku tak tahu sebab suami aku tak perlu buat.
Buat isteri, aku tak berapa ingat secara lengkap proses tu.
Tapi untuk pemeriksaan pertama dengan pakar, dia tanya sikit-sikit macam kitaran haid, dan lain-lain.
Lepas tu dia periksa rahim. Dia masukkan alat melalui vagina untuk periksa rahim tu ada cyst ke, fibriod ke. Nasib baik aku ok./
Lepas tu doktor bagi surat rujukan untuk buat ujian HSG sebab di hospital tu tak ada kemudahan untuk buat ujian tu.
Aku ambil masa untuk buat ujian HSG tu sebab aku mencari hospital yang ada doktor perempuan untuk buat ujian tu.
Nasihat aku, kalau ada duit, carilah hospital yang sediakan doktor perempuan untuk semua proses ini.
Kau tak akan rasa selesa kalau doktor lelaki yang pegang bahagian sulit tu.
Ujian HSG ni adalah ujian untuk periksa tiub Fallapio ada tersumbat atau tak. Dia akan masukkan dye ke dalam tu.
Tiub Fallapio ada dua. Jadi, kalau satu tersumbat, satu lagi boleh berfungsi dan tak ada masalah untuk mengandung.
Daripada kesemua proses, ujian HSG adalah yang paling sakit.
Sebab aku tak biasa dengan sakit haid yang teruk, jadi ujian ni sangat menyakitkan. Bukan lepas ujian siap terus hilang sakit.
Sakit sampai malam tak hilang lagi. Kalau sakit perut, bolehlah sapu minyak angin. Ini sakit dekat belah dalam.
Untuk ujian HSG, keputusan dapat lepas 30 minit. Kedua-dua tiub fallopio aku tak ada masalah.
Lepas ada keputusan, aku tetapkan temujanji lain dengan O&G.
Dia terangkan keputusan ujian sperm count dan HSG. Aku dan suami dua-dua tak ada masalah.
Lepas itu kalau tak silap aku, doktor minta aku datang balik hari ke 14 kitaran haid aku bulan depan untuk pemerkisaan selanjutnya.
Jadi dalam pertemuan seterusnya selepas doktor terangkan semua, dia beri aku ambil satu suntikan. Pregnyl injection. Cucuk kat punggung.
Jadi, Pregnyl tu akan berfungsi dalam tempoh 24-48jam selepas suntikan. So, you have to do what you have to do with your partner. Kalau tak, membazir jela.
Selepas suntikan Pregnyl, kena tunggu dua minggu. Kau akan dapat tahu, berjaya atau tidak mengandung adalah selepas 2 minggu.
Atau mungkin lebih lama sebab kalau buat ujian urine awal-awal keputusan mungkin negatif.
Jadi, sekiranya haid lagi lambat dari biasa, TAHNIAH! Alhamdulilah, saya mengandung hanya selepas satu suntikan Pregnyl.
Nasihat aku kepada pasangan yang dah kahwin agak lama dan masih belum ada anak, bolehlah telefon man-mana hospital untuk buat temujanji.
Tak perlu tunggu sampai 5 tahun baru nak jumpa doktor. Maybe its too late time tu.
Aku perempuan, jadi aku tahu macam mana rasanya mak mertua, makcik, tok nenek dan jiran tanya bila nak mengandung?
Yang dah jumpa doktor tapi masih belum ada rezeki, teruskan berusaha. Rezeki ni bukan datang dalam bentuk anak je. Tuhan bagi rezeki ni macam-macam.
Kalau tak faham, bolehlah tanya. Proses di hospital berbeza setiap individu bergantung kepada masalah yang dikenal pasti oleh doktor.
Tambahan: Sebab ramai yang tanya kos, aku tambah dekat sini.
Kos keseluruhan tak ingat. Tapi untuk ujian HSG RM180. Suntikan Pregnyl RM63. Pemeriksaan dengan Pakar O&G lebih kurang RM200 setiap kali lawatan
Pakar O&G Dr Fazlina Hanum, Hospital Az Zahrah Bangi. Untuk ujian HSG , Dr Nurhayati, KPJ Damansara.
Untuk makluman, Az Zahrah tiada alat untuk buat ujian HSG.
Lawatan lebih kurang 5-6 kali termasuk ujian HSG test, ujian darah, suntikan Pregnyl dan lain-lain.
Ditulis Oleh: Rozana Tumirin 

0 comment... add one now