Lupa Tutup Api Gas, Lelaki Mati Terbakar

TAPAH: Seorang lelaki yang mempunyai masalah pelupa meninggal dunia selepas lebih 60 peratus bahagian badannya terbakar dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Gajah di sini pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Somsak Din Keliaw berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang dikenali sebagai S. Arumugam, 44, juga mempunyai  masalah tekanan darah tinggi dan kencing manis yang kronik.  



Katanya, kebakaran pada kira-kira 8.30 pagi itu bermula dari bahagian dapur rumah selepas mangsa yang ketika itu tinggal bersendirian dikatakan terlupa menutup api dapur gas selepas memasak.

"Ketika kejadian, mangsa dipercayai lari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri kerana kita menemui mayatnya di luar rumah dan semasa itu isteri serta anak mangsa keluar ke pekan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, R. Balaratnam berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 8.32 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak di kawasan hutan kelapa sawit.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran di rumah berkenaan telah terpadam dan hanya tinggal bara-bara api.

"Rumah musnah terbakar 90 peratus dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat," katanya. - Bernama

0 comment... add one now