Khalwat: Zila AF4, pasangan didenda

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Zi­la See­ron dan pasangannya, Mohd. Khairul Azizi Burhanudin masing-masing didenda RM2,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkhalwat, bulan lalu.



Hakim Syarie, Azzeman Omar turut memerintahkan Zila atau nama penuhnya Nur Azilah Seeron, 28, dan Mohd. Khairul, 32, yang bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat swasta dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Zila dan Mohd. Khairul yang membayar denda itu didakwa bukan suami isteri dan mahram berkhalwat di rumah lelaki itu di sebuah unit di Apartmen Jalil Damai, Jalan 14/155C Bandar Bukit Jalil, di sini antara pukul 6.55 pagi dan 7.13 pagi, 13 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 27(a) dan (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga tidak lebih dua tahun atau ke­dua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Hafiz Abd. Hamid memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap kedua-dua tertuduh bertujuan mendidik mereka agar tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa hadapan.
“Oleh kerana kedua-dua tertuduh telah berkahwin, perbuatan mereka yang berkhalwat itu disifatkan sebagai meng­khianati amanah terhadap pasa­ngan mereka masing-masing.

“Apatah lagi Nur Azilah adalah seorang selebriti dan sudah tentu dia menjadi ikutan kepada anak-anak muda. Nur Azilah sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat,” kata Mohd. Hafiz.

Zila yang tidak diwakili pe­­guam syarie memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum kerana dia baru sahaja bekerja selain tidak mempunyai pendapatan yang tinggi dan Mohd. Khairul yang memakai kemeja dan berseluar hitam turut mengemukakan rayuan sama atas alasan dia perlu menanggung keluarga selain menyesal akan perbuatannya.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pasukan Penguat Kuasa Agama (PPA) Jawi terpaksa memotong mangga besi rumah tersebut beberapa minit selepas tertuduh lelaki menutup semula pintu apabila mendapati pa­sukan itu datang ke rumahnya.

0 comment... add one now