Kerbau Korban Mengamuk Di Likas

KOTA KINABALU: Beberapa individu mengalami kecederaan ketika cuba menangkap seekor kerbau yang akan digunakan untuk ibadat korban pada Isnin.


Kerbau yang diikat di sebatang pokok pada Ahad berhampiran rumah pemiliknya dekat Likas melarikan diri kira-kira pukul 10 pagi.

Cubaan beberapa penduduk kampung untuk menangkapnya gagal malah lebih malang apabila kerbau berkenaan bertindak ganas dan akan menanduk sesiapa sahaja yang menghalang laluannya.

Anak pemilik kerbau itu cedera di tangan ketika cuba untuk menangkapnya.

Haiwan itu kemudian berlari ke arah longkang berhampiran dan bersembunyi di sana.

Apabila pegawai bomba, polis dan anggota pertahanan awam cuba mendekati, kerbau itu berlari ke arah Sekolah Menengah Shan Tao dan hampir berlanggar dengan seorang penunggang motosikal.

Kerbau itu juga merempuh seorang lelaki yang sedang merakamkan kejadian berkenaan di sebalik pagar.

Seorang anggota bomba juga dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Aksi ganas itu berhenti apabila anggota rangers hidupan liar menggunakan bahan penenang.

Penolong Pengarah Hidupan Liar Sabah, Dr Sen Nathan berkata mereka terpaksa melepaskan tiga bahan penenang kepada haiwan itu.

"Haiwan itu kemudiannya dikembalikan kepada pemilik," katanya.

Kerbau berkenaan telah disembelih pada pagi Aidiladha selepas solat.

0 comment... add one now