Kecederaan Lutut Serius Punca Ezlynn Menyepi

PETALING JAYA: Penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye, Ezlynn mendedahkan kehilangannya selepas menyertai Gegar Vaganza musim kedua tahun lalu bukan disebabkan merajuk sebaliknya dia memberi fokus kepada kesihatannya yang terjejas.



Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 34, menjelaskan sebelum menyertai program itu lagi keadaan kedua-dua lututnya sudah pun mengalami masalah dan dia segera mendapatkan rawatan sejurus diumumkan tersingkir daripada pertandingan tersebut.

"Saya bukannya merajuk tetapi keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan membuatkan masa saya kebanyakannya digunakan untuk berulang-alik ke hospital.

Saya mengalami kerosakan lutut pada bahagian cartilage kerana gel pada bahagian itu sudah kering dan menyebabkan kesakitan apabila tulang bergesel.

"Pengumuman saya tersingkir ketika itu adalah pada masa yang tepat kerana ketika itu saya dalam keadaan yang sangat sakit dan terus ke hospital mendapatkan rawatan," katanya kepada mStar Online.

Tambah Ezlynn, keadaan yang dialaminya itu kebiasaannya berlaku kepada orang yang berusia 50 tahun ke atas namun ia boleh menyerang golongan muda yang terlalu aktif bersukan.

"Seperti mana yang orang tahu saya memang gila bersukan seperti berbasikal, memanjat gunung dan marathon.

"Inilah akibatnya kerana terlalu aktif bersukan namun Alhamdulillah selepas hampir setahun mendapatkan rawatan saya beransur pulih," katanya.

Dalam pada itu, Ezlynn berkata, bagi memulihkan keadaan kedua-dua lututnya doktor telah menyuntik gel agar tulang di antara bahagian tersebut tidak bergesel.

Katanya, dia perlu menambah gel berkenaan pada setiap lapan bulan untuk memastikan keadaannya kekal pulih.

"Sebelum masukkan gel doktor terlebih dahulu menyuntik kaki saya untuk mengeluarkan nanah yang mula terkumpul.

"Kemudian baharulah gel dimasukkan untuk memastikan ada kehadiran cecair pada lutut agar tulang yang menyambung tidak bergesel dan mengakibatkan kesakitan.

"Harus saya akui rawatan berkenaan sangat menyakitkan tetapi itu sahaja cara untuk memulihkan keadaan saya," jelasnya.

Sementara itu, Ezlynn berkata, buat masa ini dia tidak lagi aktif bersukan seperti sebelum ini kerana bimbang keadaan sama bakal berulang.

Walaupun sedih namun sedar dia perlu mengutamakan kesihatannya dan mengikut saranan doktor.

Dalam perkembangan lain, Ezlynn berkata, dia masih aktif menyanyi dan sedang dalam proses mencari material untuk single terbaharunya.

0 comment... add one now