Khamis, 1 September 2016

Karier Seni Amirul Jafril Tertangguh Kerana Hidap Kanser Darah Tahap Dua

PETALING JAYA: Penyanyi baharu Amirul Jafril mendedahkan penyakit kanser darah yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu menjadi penyebab dia lewat melancarkan single pertamanya berjudul Nadi.

Amirul berkata, ketika mendapat perkhabaran tersebut dia mengakui terpaksa melupakan kariernya buat seketika namun tidak pernah berputus asa mengejar impiannya kerana nyanyian telah menjadi sebahagian daripada dirinya.



"Kanser yang dihidapi sudah masuk tahap dua saya sedih juga tetapi saya tidak pernah berasa lemah atau berputus asa kerana tahu saya boleh lawan penyakit itu.

"Ketika itu saya sudah dalam proses menyiapkan single pertama saya namun terpaksa melupakan sementara waktu kerana saya begitu bersungguh-sungguh melawan penyakit tersebut.

"Atas sebab itu saya tangguhkan pelancaran single ini selama tiga tahun kerana ingin memastikan keadaan kesihatan saya benar-benar pulih," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Dalam pada itu, Amirul berkata, dia menjalani rawatan kimoterapi selama lapan bulan sebelum doktor mengesahkan dia bebas daripada kanser.

Katanya lagi, sepanjang proses itu dia tidak pernah memberitahu keluarga terutama ibunya kerana enggan mereka berasa bimbang.

"Sepanjang menjalani kimoterapi saya seorang diri dan Alhamdulillah saya positif dalam menghadapi dugaan berkenaan walaupun keluarga tidak tahu.

"Alhamdulillah rakan-rakan banyak memberi sokongan sepanjang tempoh itu cuma keluarga agak terkejut apabila saya beritahu saya hidap kanser tetapi telah pun pulih," katanya.

Tambahnya, dia kini tampil dengan semangat baharu dan bersedia untuk menyemarakkan kembali langkah dalam industri muzik tempatan selain berharap kehadirannya dapat diterima baik oleh peminat.

Sementara itu, bercakap mengenai Nadi, Amirul berkata, lagu berkenaan turut mendapat sentuhan daripada komposer dan penulis Lynnzay Affandy dan Herman Hermono dari Indonesia.

Katanya, dia memilih genre R&B sebagai pertaruhan kerana minatnya kepada muzik berkenaan selain ia sesuai dengan vokalnya.

"Lagu Nadi ini saya dapat inspirasi daripada karya daripada penyanyi seperti Beyonce dan John Legend yang sarat dengan bunyi R&B Soul namun saya selitkan dengan bunyian opera dan unsur tribal sebagai kelainan.

"Saya pilih genre itu kerana tidak ramai tampil dengan lagu-lagu R&B berbanding Pop tambahan pula saya sendiri memang menggemari genre itu," katanya.

Jelasnya lagi, lirik lagu berkenaan ditulis berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri yang membawa mesej percintaan serta pengorbanan.

Tiada ulasan:
Write ulasan