Isnin, 19 September 2016

"Jika Niat Berhijrah Kerana Allah, Pasti Akan Berkekalan" - Mizz Nina

Pernah bergelar penyanyi hingga menembusi peringkat antarabangsa dulu membuatkan ramai yang tidak percaya tentang penghijrahan yang berlaku terhadap Mizz Nina. Namun bagi dirinya, penghijrahan yang dilakukan kerana Allah itu tidak pernah membuatkan beliau rindukan kehidupannya yang dulu kerana apa yang dimilikinya kini terlalu indah untuk dilepaskan.



“Alhamdulillah saya selesa dengan imej bertudung saya sekarang. Saya tidak ambil pusing sama ada terdapat orang yang suka saya berhijab atau tidak kerana bagi saya, apa yang dilakukan ini adalah semata-mata kerana Allah. Malah saya yakin dan percaya, jika kita ikhlas melakukan sesuatu dan nawaitu kita adalah hanya untuk Allah, ianya akan kekal dan berpanjangan”

“Terus terang saya nyatakan, saya tidak rindukan kehidupan yang pernah dilalui pada masa lalu. Apa yang telah berlaku adalah satu kisah silam yang hanya tinggal sejarah kini. Saya sudah lepaskan segalanya. Saya sudah merasai semuanya dan tiada apa lagi yang mahu saya kejarkan lagi. Alhamdulillah, banyak hikmah yang saya perolehi selepas mula berhijrah dan berhijab”

“Saya tidak perlu berpura-pura untuk cuba menjadi orang lain atau cuba membuktikan sesuatu untuk meraih pujian atau penghargaan daripada sesiapa jua. Saya jauh lebih selesa, tenang dan mensyukuri nikmat penghijrahan ini. Ia adalah fasa baru dalam kehidupan saya dan syukur dalam usia 35 tahun ini,” katanya menerusi temubual eksklusif bersama majalah Intrend.

Sementara itu, Mizz Nina turut berkongsi bagaimana suaminya, Noh Ahmad memberi dorongan kepadanya untuk mendekati Islam dengan tidak memaksa walaupun memarahinya untuk tampil berhijab. Malah peringkat demi peringkat Noh membawa beliau ke kelas agama, mengaji Al-Quran serta sering pergi mengerjakan haji bersama sehingga beliau terbuka untuk berhijab.

Tiada ulasan:
Write ulasan