Sabtu, 17 September 2016

Isteri Tidak Tonton Drama Lakonan Saharul Ridzwan

PUTRAJAYA: Isteri pelakon Saharul Ridzwan iaitu Qaabila Deena Emir mengakui tidak pernah sekalipun menonton lakonan suaminya biarpun drama tersebut popular dan hangat diperkatakan.

Qaabila atau lebih dikenali sebagai Deena Emir, 28, berkata, kerjaya sebagai pengusaha butik membuatkannya tidak mempunyai banyak masa menonton drama televisyen.

"Saya tidak pernah menonton drama Saharul sejak dia bergelar pelakon kerana saya sibuk menguruskan hal-hal bisnes dan tiada masa untuk menonton drama.

"Kadang-kadang cerita popular yang dia berlakon saya tidak tahu, tapi saya sentiasa beri sokongan kepada dia untuk terus berlakon,"ujarnya kepada mStar Online.

Saharul dan Deena ditemui pada majlis resepsi perkahwinan mereka di Dewan Sri Siantan, Putrajaya, petang Jumaat.

Pasangan ini selamat diijabkabul di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, pada pagi Jumaat.

Dalam pada itu, Deena berkata, dia dilamar oleh aktor itu pada Januari lalu menerusi telefon.

"Kami berkawan sejak tahun 2012 tapi sekadar kawan biasa sehingga bertemu semula awal tahun ini. Saya terkejut dia tiba-tiba telefon saya dan bertanya kesudian saya untuk berkahwin dengannya.

"Saya betul-betul terkejut dan selepas membuat solat sunat istiharah saya terima lamaran tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Saharul berkata, dia melihat Deena seorang wanita istimewa dan tidak memandang kepada harta kekayaan seorang lelaki.

Katanya, dia juga sentiasa berasa tenang ketika melihat wajah wanita itu.

"Kami kenal sebelum saya jadi pelakon dan ketika itu saya hanya bawa kereta Perodua Viva sahaja sedangkan ramai lagi lelaki yang lebih bagus sukakan dia.



"Dia tetap menunggu saya dengan sabar. Selain itu, wajahnya sentiasa membuatkan hati saya tenang," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang lokasi berbulan madu, Saharul berkata, dia merancang untuk membawa isterinya melakukan ibadah umrah akhir tahun ini.

Majlis perkahwinan tersebut turut dihadiri oleh pelakon Janna Nick, Sheila Rusly dan pengarah Jinggo.

Pasangan tersebut juga bakal mengadakan sebuah lagi majlis resepsi bersama rakan-rakan dan peminatnya pada Ahad ini di Shah Alam.

Tiada ulasan:
Write ulasan