Ibu sembilan anak hidup susah, Suami Hilang Di Laut

KUANTAN - Kesempitan hidup yang ditanggung selepas kehilangan suami ketika keluar ke laut menangkap ikan, lima bulan lalu, memaksa seorang ibu sembilan anak menagih bantuan orang ramai untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Ibu sembilan anak hidup susah

Maimunah Abdul Shukor, 37, berkata, buat masa ini dia masih tidak berpeluang bekerja mencari nafkah menggantikan suaminya, Yusof Abu Hussein, 40, yang masih belum pulang memandangkan berada dalam tempoh berpantang anak kesembilan yang baharu lahir, 19 Ogos lalu.

Lebih menyedihkan, dia terpaksa bersalin di rumah tanpa bantuan pakar selain tidak menyediakan sebarang persiapan untuk bayinya.

“Kami mula berhijrah ke Sungai Karang dua tahun lalu dari Kemaman dan suami bekerja sebagai nelayan manakala saya ambil upah mengemas rumah.

“Namun sejak lima bulan lalu, hidup kami sekeluarga makin susah dan sumber wang terputus apabila suami yang keluar ke laut bersama rakan-rakannya bukan sahaja tidak pulang, namun masih tidak ada khabar berita. Saya risau sebab suami warga Myanmar dan setiap hari saya masih menanti kepulangannya," katanya kepada pemberita yang berkunjung ke rumahnya berhampiran padang Perkampungan Sungai Karang Pantai di sini, semalam.

Menurut Maimunah, segala tanggungan seperti sewa RM250 sudah tiga bulan tertunggak malah yuran RM100 persekolahan anak-anak seramai lima orang di Sekolah Anak-anak Rohingya Abim Kuantan pun masih belum berbayar.

"Sekarang, wang belanja pun dah tak ada,” katanya.

Menurutnya lagi, setakat ini, dia tidak memikirkan soal lain, hanya ingin memohon bantuan daripada mana-mana pihak membantu sementara masih belum berpeluang untuk bekerja.

0 comment... add one now