Selasa, 20 September 2016

Ibu menangis, anak berumur 19 Tahun dijel 11 tahun, 6 sebat

Image result for jel lelaki

KOTA BHARU – Seorang ibu menangis sambil memeluk erat anak lelakinya selepas remaja itu dihukum penjara 11 tahun dan dikenakan enam sebatan kerana kesalahan merogol kekasih bawah umur, di mahkamah sesyen, di sini, hari ini.

Mohamad Shahrul Rizwan Amran, 19, dihukum Hakim, Nazri Ismail selepas menukar pengakuan daripada tidak mengaku kepada mengaku bersalah ketika prosiding perbicaraan.

Tertuduh mengaku merogol mangsa yang berusia 15 tahun di sebuah rumah di Lorong Pagar Jawa, Jalan Pengkalan Chepa,  Simpang 3, di sini, pada jam 11 pagi, 5 Ogos tahun lalu.

Dia sebelumnya turut berdepan dua tuduhan merogol mangsa sama pada jam 9 pagi, 9 Ogos dan 3.30 petang, 12 Ogos tahun serta di lokasi sama, namun dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan itu susulan pengakuan pada tuduhan pertama.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam awam memohon hukuman diringankan dan dikecualikan daripada sebatan dengan mengambil kira usia yang masih muda.

“Tertuduh anak sulung dari tiga beradik dan adiknya meninggal dunia dalam kemalangan pada malam Raya Aidiladha baru-baru ini. Tertuduh tidak ada pekerjaan dan tidak berpelajaran serta terpengaruh dengan rakan sebaya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Siti Hajar Alias, bagaimanapun membantah alasan usia muda dan mencadangkan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada tertuduh sendiri serta orang awam.

“Kes-kes seumpama ini semakin berleluasa terutamanya di negeri Kelantan. Hukuman yang berat akan memberi gambaran kepada umum bahawa mahkamah mengambil serius kesalahan yang dilakukan ini dan mencegah daripada berulang,” katanya.

Tiada ulasan:
Write ulasan