Guru Didakwa Lakukan Kelucahan Melampau Terhadap Murid 11 Tahun


KUALA LUMPUR - Seorang guru berumur 37 tahun, didakwa di atas dua pertuduhan merangsang murid lelaki berumur 11 tahun untuk melakukan perbuatan kelucahan melampau, lapor Bernama.

Kamarul Azamin Mohamad, dituduh melakukan kesalahan itu di bilik guru di sebuah sekolah rendah di sini pada jam 9 pagi, 4 Mei 2016, bagaimanapun tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini. 

Bagi pertuduhan kedua, Kamarul didakwa melakukan kesalahan yang sama terhadap murid yang sama di bilik komputer sekolah itu pada jam 8.45 pagi, 6 Mei 2016. 

Kamarul didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh dikenakan sebatan jika disabit kesalahan. 

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mendekati saksi sementara menunggu perbicaraan pada 2 November. 

Peguam, Datuk Taqiyuddin Yahya yang mewakili tertuduh merayu agar mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan tertuduh memberikan kerjasama kepada pihak polis semasa siasatan dilakukan. 

Taqiyuddin berkata, tertuduh yang mempunyai dua orang anak, merupakan seorang guru yang bertanggungjawab serta suka bergaul dengan murid-muridnya. - BERNAMA

0 comment... add one now