Rabu, 28 September 2016

Fattah Amin Nafi Ada Hubungan Istimewa Dengan Fazli Zainal

PETALING JAYA: Pelakon Fattah Amin kesal apabila ada pihak menggunakan foto-fotonya dengan penyanyi Fazli Zainal di Instagram untuk menyebarkan fitnah kononnya mereka 'mempunyai hubungan' istimewa.



Fattah, 26, berkata, dia berasa pelik apabila foto-foto mereka dari Instagram milik Fazli telah dijadikan isu untuk menghangatkan situasi dengan menyebarkan cerita tidak benar dan tidak berasas.

"Sebenarnya saya malas hendak melayan gosip sebegini kerana ia akan menyebabkan perkara itu menjadi lebih besar selain tidak mendatangkan faedah.

"Bagaimanapun dakwaan dibuat oleh sesetengah blog dan forum yang mengambil gambar selfie kami itu di Instagram dan membuat kesimpulan kononnya kami ada hubungan sudah dikira sebagai fitnah.

"Fitnah yang disebarkan dengan tujuan mengaibkan pada saya bukan benda main-main kerana ia boleh buat orang percaya dengan apa yang mereka baca tanpa mengetahui situasi sebenar," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu

Dalam pada itu, Fattah yang sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot itu berkata, dia sendiri merasakan tidak membuat sebarang kesalahan apabila bergambar dengan Fazli kerana penyanyi berkenaan adalah rakannya.



Malah katanya, gambar berkenaan turut dimuat naik di Instagram untuk tatapan peminat kerana ia bukan sesuatu yang perlu dirahsiakan.

"Rasanya gambar-gambar kami itu masih ada di Instagram Fazli dan pada saya dia tidak perlu memadam pun foto-foto itu kerana ia sekadar gambar biasa di antara dua orang kawan.

"Bukannya orang tidak kenal kami dan apa kewajaran kami nak buat perkara tak senonoh jika kami sanggup gambar itu ditatap oleh peminat di laman sosial," ujarnya.

Sementara itu, Fazli ketika dihubungi tidak berasa takut dengan tuduhan dibuat kerana dia menyedari itu semua hanyalah fitnah semata-mata.

"Selagi perkara yang diperkatakan itu tidak benar buat apa saya hendak takut kerana isu yang ditimbulkan itu adalah fitnah.

"Lainlah kalau gambar tersebar itu diambil oleh 'paparazi' tetapi ia daripada Instagram saya sendiri yang terang-terangan boleh dilihat oleh semua orang," katanya.

Jelas Fazli, foto-fotonya bersama Fattah dimuat naik selepas mendapat persetujuan pelakon itu dan tidak timbul kononnya dia mahu 'menempel' bagi mendapatkan publisiti murahan mengguankan populariti aktor tersebut.

Dalam pada itu Fazli berkata, pihaknya sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang kepada blog dan juga mana-mana forum Internet yang bertanggungjawab membuat tuduhan berunsur fitnah terhadap mereka.

Tiada ulasan:
Write ulasan