Rabu, 14 September 2016

Empat Sekeluarga Maut Kenderaan Dinaiki Rempuh Lori Tangki

TAIPING: Dua warga emas antara empat sekeluarga yang maut apabila kenderaan mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori tangki di di Kilometer 209, Lebuh Raya Utara-Selatan arah ke utara berhampiran susur keluar ke Kamunting petang Selasa.



Mangsa dikenali sebagai Othman Hamid, 68, Aishah Arof, 62, Azida Othman, 43, serta Muhammad Aiman Hakim Shuhaimi, 19, yang kesemuanya berasal dari Pulau Pinang.

Pihak polis belum dapat memastikan hubungan antara keempat-empatnya.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Harrith Kam Abdullah berkata kemalangan berlaku kira-kira 3.30 petang apabila kereta Proton Iswara yang dipandu Azida melanggar belakang lori tangki yang diletak di lorong kecemasan.

"Siasatan awal mendapati lori berkenaan berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan dan pemandunya telah meletakkan kon kecemasan di bahagian belakang kenderaannya.

"Akibat daripada pelanggaran itu, empat sekeluarga berkenaan meninggal di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini malam Selasa.

Mayat dihantar ke Hospital Taiping untuk dibedah siasat.
Pemandu lori berumur 48 tahun itu kini ditahan untuk membantu siasatan.

Tiada ulasan:
Write ulasan