Khamis, 22 September 2016

Dua Beranak Ditemui Mati Dipercayai Dibunuh

OHOR BARU: Dua beranak ditemui mati dipercayai dibunuh di rumah mereka di Jalan Beladau, Taman Putri Wangsa, Ulu Tiram, dekat sini Rabu.



Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, kedua-dua mangsa dikenali sebagai M. Mariayee 56, dan anak perempuannya S. Turgadevi, 16, ditemui mati akibat cedera ditikam di beberapa bahagian badan.

Beliau berkata, mangsa ditemui anak lelaki mangsa, S. Perabakaran, 33, di bilik ketiga rumah mereka pada kira-kira 10.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati mayat ibunya ditikam di bahagian rusuk kiri, tengkuk dan belakang badan.

"Sementara, anak perempuannya ditikam di bahagian perut, leher, mulut serta dikelar pada bahagian pergelangan tangan dan dipercayai berlaku pergelutan dengan suspek," katanya kepada pemberita dekat sini, Rabu.

Sulaiman berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati motif pembunuhan mungkin bukan berlandaskan kes samun kerana tiada kesan pecah masuk.

"Kami juga percaya mangsa sebenarnya mengenali suspek dan membenarkan suspek masuk ke rumah sebelum kejadian," kata beliau.

Sulaiman berkata, hasil siasatan juga mendapati empat lelaki dipercayai terlibat dengan seorang daripadanya telah dikenal pasti identitinya dan kini sedang diburu polis.

Sementara itu, Perabakaran berkata dia yang tinggal tidak jauh dari rumah ibunya itu, ketika itu bersama bapanya, yang kemudiannya menemui ibu dan adik bongsunya itu dalam keadaan terbaring.

"Saya hairan melihat pintu rumah terbuka tetapi tiada yang menyahut panggilan saya. Saya terus masuk ke rumah dan melihat ibu dan adik saya berlumuran darah di atas katil," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dia yang turut bersama bapanya ketika itu kemudiannya menghubungi pihak polis.

Bagaimanapun, Perabakaran berkata anak perempuannya berusia tiga tahun yang dijaga oleh ibunya tidak diapa-apakan dan hanya ditemui sedang menangis dalam bilik berkenaan. - Bernama

Tiada ulasan:
Write ulasan